Jangan kotori keindahan Kampung Wai - JPS Perlis

KUALA PERLIS – Para pelancong yang mengunjungi Kampung Wai, di sini diingatkan supaya menjaga kebersihan serta keindahan kawasan tersebut setelah ia muncul destinasi eko-pelancongan yang semakin mencuri perhatian ramai.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perlis, Amir Budiman Abdullah, berkata, pihaknya berusaha untuk menjaga keindahan kawasan tumpuan pengunjung yang terpesona dengan keindahan bukit batu kapur berusia lebih 500 juta tahun itu.
Menurutnya, keindahan Kampung Wai yang memukau dengan keindahan air berwarna hijau dan flora tropika asli dapat disaksikan selepas melaui sebuah terowong sepanjang 765 meter yang menembusi Banjaran Nakawan dan berakhir di Kuala Perlis.

Katanya, pelan jangka pendek dan sederhana telah dirangka antaranya termasuk penyelarasan operator bot dan wakil penduduk bagi memastikan aspek kebersihan, keselamatan dan kemudahan awam seperti tandas dan surau terjaga.
“Walaupun begitu pasal (pengurusan) sampah semuanya nak percuma. Seolah ada pihak yang mengutip untuk mereka. Inilah cabaran yg sering dihadapi apabila ramai pelancong yang hadir,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian mengulas laporan akhbar ini pada 3 Jun lalu yang melaporkan Kampung Wai permata tersembunyi di utara mula menjadi tumpuan pelancong kerana keindahan semula jadi yang tidak ternilai.
Namun di sebalik keindahan alam dan daya tarikan luar biasa itu, masih ada kekangan yang membelenggu pembangunan pelancongan di Kampung Wai.
Antaranya kemudahan asas yang terhad menjadi cabaran utama, terutamanya ketiadaan bekalan air dan elektrik tetap untuk pengusaha gerai yang memaksa mereka untuk menutup perniagaan masing-masing seawal jam 7 malam.

Jalan kampung yang sempit dan belum berturap turut menyukarkan pergerakan jentera pertanian dan menyebabkan kesesakan parkir, malah tiada sebarang aktiviti malam seperti pasar malam mahupun lampu hiasan sepanjang terusan, menyebabkan kawasan tersebut seolah-olah mati selepas senja.
Amir Budiman berkata, pihaknya mengambil maklum kekangan tersebut dan akan menysemak serta menilai kebolehlaksaan dengan mengambil kira peraturan, keselamatan, teknikal dan Enakmen Air Perlis.
“Bagi kerja-kerja jangka sederhana pula pengindahan Dataran Kampung Wai akan dilakukan antaranya membina tangki air bagi kegunaan tandas dan surau.
“Pihak kami juga akan membina tiang penghadang laluan termasuk tapak konkrit gerai dan pembinaan kawasan tempat letak kereta,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!