Bayi jantung berlubang perlukan RM40,000 tampung kos pembedahan

Nur Shahira Ashiqin dan Mohd Kharil Izuan bersama bayi mereka, Muhammad Yusuf Rizqi yang perlu menjalani pembedahan membuka ikatan di paru-paru dan menutup dua lubang di jantung pada Oktober depan.
Nur Shahira Ashiqin dan Mohd Kharil Izuan bersama bayi mereka, Muhammad Yusuf Rizqi yang perlu menjalani pembedahan membuka ikatan di paru-paru dan menutup dua lubang di jantung pada Oktober depan.
A
A
A

KEMAMAN - Seorang bayi lelaki berusia 14 bulan yang menghidap penyakit jantung berlubang dan masalah paru-paru kronik memerlukan dana sebanyak RM40,000 bagi menampung kos pembedahan yang dijadualkan pada Oktober depan.

Ibunya, Nur Shahira Ashiqin Nasrudin, 31, berkata anaknya, Muhammad Yusuf Rizqi Mohd Kharil Izuan menghidap jantung berlubang dan saluran darah pada paru-paru yang terbalik sejak dilahirkan.

"Anak saya telah melalui beberapa pembedahan sejak lahir, termasuk pemasangan alat bantuan jantung di Institut Jantung Negara (IJN) pada November tahun lalu.

"Untuk pembedahan akan datang, doktor perlu membuka ikatan di paru-paru dan menutup dua lubang pada jantungnya," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di Felda Neram II, Bandar Cheneh Baru, di sini pada Ahad.

Menurut Nur Shahira Ashiqin, suaminya, Mohd Kharil Izuan Rasid, 32, yang bekerja sebagai polis bantuan Felda mendapat jaminan syarikat (GL) sebanyak RM45,000, sedangkan kos penuh pembedahan dianggarkan sebanyak RM85,000.

"GL itu pula hanya akan dikeluarkan bila anak dah masuk wad dan kali ini kami perlu dapatkan RM40,000 untuk tampung baki bayaran tersebut.

"Kami sudah buntu untuk mencari duit, malah wang simpanan juga sudah habis dibelanjakan bagi proses rawatan.

"Sebelum ini kami pernah jual motosikal dan kereta semata-mata untuk dapatkan duit untuk tanggung rawatan anak," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Yusuf Rizqi yang ditemui di rumahnya di Felda Neram II, Bandar Cheneh Baru, Kemaman sudah menjalani beberapa pembedahan sejak lahir termasuk pemasangan alat bantuan jantung di IJN pada November tahun lalu.
Muhammad Yusuf Rizqi yang ditemui di rumahnya di Felda Neram II, Bandar Cheneh Baru, Kemaman sudah menjalani beberapa pembedahan sejak lahir termasuk pemasangan alat bantuan jantung di IJN pada November tahun lalu.

Menurutnya, Muhammad Yusuf Rizqi telah menjalani empat kali pembedahan termasuk pembedahan untuk memasang alatan pada jantung dan paru-paru di IJN pada November tahun lalu dengan bantuan subsidi kerajaan.

"Buat masa ini, Muhammad Yusuf Rizqi cepat penat dan tidak boleh aktif seperti bayi lain.

"Dia juga perlu sentiasa diperhatikan kerana mudah semput dan tercungap-cungap apabila merangkak dan bermain. Kami bimbang jika berlaku perkara tak diingini," katanya.

Nur Shahira Ashiqin yang merupakan suri rumah sepenuh masa berkata, mereka mempunyai enam orang anak berusia antara satu hingga 15 tahun dan gaji bulanan suaminya sebanyak RM2,000 tidak mencukupi untuk menampung perbelanjaan harian serta kos rawatan anak mereka.

"Kos sara hidup makin tinggi, kami memang tidak mampu simpan untuk kos pembedahan. Baru-baru ini JKM baru sahaja lulus bantuan RM500 untuk anak sakit kronik dan bantuan itu hanya akan mula disalurkan bulan depan.

"Kami amat berharap sekiranya ada badan bukan kerajaan (NGO), syarikat atau individu yang sudi membantu.

"Kalau saya tidak berjaya kumpul duit sebanyak itu, mungkin anak saya tidak dapat menjalani pembedahan," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan atau menghubungi Nur Shahira Ashiqin di talian 019-8180268.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!