Kerajaan Johor sedia bantu jemaah haji yang ditipu

JOHOR BAHRU – Kerajaan Johor menyatakan komitmen untuk membantu pihak berkuasa dalam menyelesaikan isu penipuan ibadah haji melibatkan jemaah dari negeri ini.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid berkata, kerajaan negeri amat dukacita dengan kejadian tersebut yang sekali lagi menunjukkan masih wujud pihak tidak bertanggungjawab memperdaya orang ramai.
“Apa yang lebih menyedihkan, ia didakwa melibatkan jemaah warga emas serta individu dalam keadaan kesihatan yang memerlukan perhatian.
“Mereka dikatakan dikurung dan diarahkan melalui laluan berbahaya bagi tujuan menunaikan ibadah haji tanpa kebenaran dan visa yang sah,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Beliau menasihati waris jemaah yang menjadi mangsa agar terus bersabar dan menyerahkan kepercayaan penuh kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.
“Saya mengikuti rapat perkembangan kes ini dan mendoakan agar keselamatan jemaah yang terjejas sentiasa terpelihara.
"Kerajaan Johor sedia memberikan bantuan yang diperlukan oleh pihak berkuasa, termasuk dalam aspek mendidik masyarakat agar lebih berhati-hati dan tidak mudah terpedaya,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Fared turut menasihatkan umat Islam agar hanya mendapatkan khidmat dan nasihat daripada Tabung Haji untuk urusan ibadah haji.
“Tiada langkah pintas untuk menunaikan rukun Islam kelima. Sentiasalah berurusan dengan saluran yang sah dan diiktiraf,” tegas beliau.
Sebelum itu, media melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima tiga laporan polis berkaitan penipuan pakej haji ke atas sekumpulan warga emas yang didakwa dikurung dan dipaksa meredah laluan berbahaya di Arab Saudi.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, tiga laporan polis itu dibuat oleh ahli keluarga jemaah yang berada di Malaysia.
Menurutnya, tiga laporan polis itu dibuat masing-masing dua di Mantin, Negeri Sembilan dan satu di Ayer Hitam, Johor.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!