Wanita Myanmar ditahan cederakan peniaga guna pisau cukur

KUANTAN - Seorang wanita warganegara Myanmar pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Ke Atas Pelarian (UNHCR) ditahan selepas mencederakan peniaga telefon bimbit menggunakan pisau cukur dalam kejadian di Kampung Padang 2, Taman Impianku di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3.40 petang itu, peniaga lelaki berusia 47 tahun bagaimanapun mengalami luka ringan dengan kesan hirisan di leher dan kaki.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pihak polis turut merampas pisau cukur yang digunakan suspek berusia 39 tahun semasa kejadian.
Menurutnya, polis menerima laporan berhubung kejadian daripada orang awam dengan maklumat awal berlaku kejadian rompak bersenjata pisau di sebuah kedai telefon bimbit di Jalan Kampung Padang 2, Taman Impianku di sini.
"Bertindak atas maklumat, pihak polis ke lokasi untuk siasatan lanjut bagaimanapun kejadian bukan melibatkan rompakan sebagaimana didakwa.
"Hasil siasatan mendapati, mangsa yang telah berniaga kira-kira 10 tahun di premis itu didatangi suspek untuk membeli tambah nilai telefon bernilai RM30 dan membayarnya secara tunai.
"Ketika itu suspek dilihat dalam keadaan tidak terurus," katanya.
Wan Mohd Zahari berkata, selepas ditanya datang dari mana, suspek beritahu mangsa dia orang Myanmar dan datang dari Johor Bahru.
Menurutnya lagi, selepas itu, suspek meminta bantuan mangsa untuk mengecas telefon bimbit miliknya.
"Lelaki itu bersetuju dan mengambil telefon wanita itu untuk dicas di kaunter.
"Bagaimanapun semasa memalingkan badan, mangsa mendakwa suspek tiba-tiba mengacukan pisau cukur ke arah lehernya lalu dia menepis sehingga berlaku pergelutan," ujar Wan Mohd Zahari lagi.
Bagaimanapun jelas beliau, suspek tidak membuat ugutan, pemerasan atau meminta wang dari mangsa ketika kejadian.
Menurut beliau, ekoran kejadian itu, mangsa meminta bantuan orang ramai, dan telah mengunci suspek di dalam kedai untuk keselamatan diri.
"Rakan mangsa telah menghubungi pihak polis untuk bantuan menahan suspek.
"Dalam kejadian itu, mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan hanya dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini," katanya.
Beliau berkata, hasil soal siasat, suspek mendakwa bertindak mengacukan pisau cukur ke arah mangsa kerana marah selepas lelaki itu mengeluarkan kata-kata tidak sopan semasa menunggu telefon bimbit dicas
"Suspek kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63," katanya.
Video kejadian itu tular di laman sosial Facebook selepas dimuat naik netizen dipercayai kebetulan berada berhampiran lokasi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!