Wanita ditahan cederakan kanak-kanak guna pisau

Wanita ditahan cederakan seorang kanak-kanak lelaki di kawasan PPR Batu 8, Jalan Apas, Tawau.
Wanita ditahan cederakan seorang kanak-kanak lelaki di kawasan PPR Batu 8, Jalan Apas, Tawau.
A
A
A

TAWAU - Seorang wanita ditahan selepas disyaki mencederakan seorang kanak-kanak lelaki dengan menggunakan pisau dalam kejadian di kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) Batu 8, Jalan Apas, di sini pada Khamis lalu.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang, mangsa berusia 10 tahun itu dalam keadaan berlumuran darah akibat kecederaan yang dialami pada bahagian tangan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ibu saudara kanak-kanak tersebut dimaklumkan mangsa dicederakan oleh seorang wanita di kawasan perumahan tersebut.

“Mangsa luka di bahagian tangan kiri ketika cuba mengelak daripada ditikam oleh suspek.

"Mangsa kemudian dibawa ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jasmin berkata, susulan kejadian itu dan bertindak atas maklumat sepasukan polis dari Bahagian Siasatan jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau berjaya menahan seorang suspek yang terlibat.

"Wanita tempatan berusia 43 tahun itu berjaya ditahan kira-kira jam 3.30 petang semalam (Sabtu).

"Siasatan awal mendapati suspek tidak mempunyai sebarang hubungan dengan mangsa dan motif sebenar serangan masih dalam siasatan," katanya.

Sehubungan itu, suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan senjata berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!