Pelanggan fasih Mandarin, spontan bantu ‘Abang Durian’ layan warga China

SHAH ALAM - Seorang peniaga durian terkejut apabila tiba-tiba dibantu oleh seorang pelanggan wanita yang fasih berbahasa Mandarin ketika berdepan kesukaran melayan pelanggan warga China.
Insiden spontan itu berlaku di gerai durian milik Mohamad Amin Rosli, 34, yang berniaga secara bermusim di Kepala Batas, Pulau Pinang.
Mohamad Amin yang juga pekerja sektor swasta berkata, ketika itu dia sedang mengupas durian untuk pelanggan yang singgah ke gerainya.
“Ketika itu saya tengah kupas durian untuk pelanggan lain, tiba-tiba datang tiga orang pelanggan lelaki, saya tanya mereka mahu apa (durian) tetapi rupanya mereka tak faham bahasa Melayu dan Inggeris.
“Kebetulan ada seorang pelanggan perempuan, Nazzia Abu Hassan Shaari, 36, datang dari belakang saya dan terus cakap Mandarin, ini semua secara kebetulan, daripada situ juga dapat tahu mereka warga China,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Mohamad Amin, Nazzia datang ke gerainya buat kali pertama selepas mendapat cadangan daripada adiknya.
Tambah Mohamad Amin yang berasal dari Pulau Pinang, dia kagum apabila wanita itu secara spontan membantu berkomunikasi dengan pelanggan berkenaan sambil mendukung anak kecil tanpa sebarang permintaan.
“Pelanggan China itu juga berterima kasih kepada dia... mereka juga tahu Nazzia bukan penjual.
“Oleh disebabkan pertolongan Nazzia, kami panggil dia untuk ‘review’ durian yang video itu telah pun dimuat naik dalam portal media tempatan yang lain.
“Tak dinafikan video Nazzia membantu kami tular dan kerana itu saya harap rakyat Malaysia... jika boleh belajar bahasa selain daripada bahasa kebangsaan, belajarlah. Ini salah satu kebaikan dan akan jadi peluang kuasai lebih daripada satu bahasa,” ujarnya.
Sementara itu, Nazzia yang bekerja sebagai pengurus akaun jualan berkata, penguasaan bahasa Mandarin bukan sahaja memberi kelebihan dalam kerjaya dan pendidikan, malah berguna dalam situasi tidak dijangka.
“Alhamdulillah, saya dapat mudahkan proses dan membantu abang durian menjual kepada pelanggan warga China itu.
“Saya gembira dapat tolong,” kata Nazzia.
Difahamkan, kebolehannya menguasai lebih daripada satu bahasa turut membuka lebih banyak peluang apabila kini dia menerima pelbagai tawaran untuk membuat iklan produk.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
