Naik taraf dua jambatan di Pontian selesai isu kesesakan

PONTIAN – Dua jambatan utama yang selama ini menjadi nadi kepada pergerakan harian penduduk di bandar Pontian akhirnya dinaik taraf sekali gus akan menyelesaikan isu kesesakan trafik yang dihadapi.
Projek naik taraf jambatan Pontian Kechil dan jambatan Pontian Besar melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM72 juta daripada Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kedua-duanya bakal diperluaskan daripada dua kepada empat lorong.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kedua-dua jambatan itu selama ini menjadi lokasi ‘bottleneck’ utama di pusat bandar hingga menyebabkan gangguan trafik serius terutama ketika waktu puncak, cuti sekolah dan musim perayaan.
“Jambatan yang sempit ini tidak lagi mampu menampung jumlah kenderaan yang semakin bertambah.

"Kita peruntukkan RM23 juta bagi naik taraf Jambatan Pontian Kechil yang kini sedang berjalan dan dijangka siap pada September 2025, manakala RM49 juta lagi bagi kerja naik taraf Jambatan Pontian Besar yang akan dimulakan tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Mesyuarat Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Pontian di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini pada Sabtu.
Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian menegaskan, dengan pembangunan ekonomi dan pertambahan populasi di Pontian, sudah tiba masanya infrastruktur utama seperti jambatan dinaik taraf agar seiring dengan keperluan semasa.
Tambahnya, majlis pecah tanah bagi projek Jambatan Pontian Besar akan disempurnakan oleh Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dalam tempoh terdekat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

