Pekerja kedai serbaneka cedera dipukul perompak

MELAKA - Seorang pekerja kedai serbaneka parah di kepala dipercayai dipukul dengan besi oleh individu disyaki melakukan rompakan di premis perniagaan itu di Bukit Baru di sini pada awal pagi Sabtu.
Berdasarkan video tular berdurasi 17 saat itu, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi memaparkan mangsa sedang menahan kesakitan di kepala dan terdapat kesan darah di atas lantai selain beberapa barangan jualan turut bertaburan di atas lantai.
Dalam video itu turut terdengar suara individu lelaki yang memaklumkan bahawa mangsa dirompak.
"Ni kena rompak ni, ya ALLAH rehat-rehat berdarah kepala. Tolong-tolong kejadian berlaku sekarang," kata lelaki yang merakamkan kejadian itu sebelum tular di aplikasi WhatsApp.
Sementara itu, tinjauan ke premis terbabit pada tengah hari mendapati ia ditutup dan terdapat notis ditampal bahawa premis itu sedang menjalankan kerja pembersihan.
Selain mencederakan mangsa, suspek turut melarikan slot wang dalam mesin juruwang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit yang dihubungi memaklumkan sedang menyemak laporan kejadian tersebut.
Difahamkan, sebuah lagi kedai serbaneka di Taman Delima Raya turut dirompak pagi tadi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!