Karangkraf terima Anugerah Kerjasama Akademia Industri Cemerlang UniMAP

BAYAN LEPAS - Syarikat penerbitan, percetakan dan media, Karangkraf menerima Anugerah Kerjasama Akademia Industri Cemerlang bagi kategori Perniagaan & Keusahawanan oleh Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam Majlis UniMAP Industry Eminence Awards 2025 yang berlangsung di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Majlis itu turut menyaksikan seramai 28 wakil industri lain menerima anugerah masing-masing atas komitmen dan kerjasama cemerlang mereka bersama UniMAP dalam pelbagai bidang strategik melibatkan akademik, penyelidikan serta pembangunan modal insan.
Ia dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UniMAP, Tan Sri Sufri Mhd Zin.
Ketua Komunikasi Korporat Karangkraf, Nik Justin Nik Mohd Ariffin berkata, anugerah tersebut membuktikan potensi besar kolaborasi antara industri media dan penerbitan dengan dunia akademia dalam memacu inovasi, melahirkan bakat baharu serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.
“Anugerah ini satu pengiktirafan kepada jalinan kerjasama erat yang telah dibina antara Karangkraf dan UniMAP. Ia menjadi suntikan semangat untuk kami terus memperkukuh hubungan dengan institusi pendidikan tinggi seperti UniMAP.
“Malah, Karangkraf juga akan terus meneroka pelbagai peluang kerjasama baharu yang lebih berimpak di masa hadapan,” katanya.
Tambah beliau, Karangkraf bukan sahaja memberi tumpuan kepada kolaborasi industri-akademia, malah terus komited memperkasa inisiatif sosial dan komuniti yang mampu membawa perubahan positif dalam masyarakat.
“Peranan Karangkraf melangkaui teras perniagaan semata-mata. Kami berazam untuk menyumbang dalam aspek pendidikan, literasi dan pembangunan sosioekonomi.

“Pengiktirafan ini akan terus mendorong kami untuk berinovasi dan memastikan setiap inisiatif Karangkraf memberikan impak yang berkekalan dan bermakna kepada komuniti,” ujarnya.
Pada majlis sama, UniMAP melancarkan program latihan industri (LI) antarabangsa sulungnya, UniMAP@3i (International Industry Internship) yang memberi peluang kepada pelajar menjalani latihan di luar negara.
Naib canselornya, Datuk Profesor Ts Dr Zaliman Sauli berkata, program itu memberi pendedahan global dan membina kemahiran insaniah, komunikasi serta keyakinan diri menerusi pengalaman di syarikat antarabangsa.
Menurutnya, program UniMAP@3i direka khusus bagi menghubungkan pembelajaran akademik dengan pengalaman kerja sebenar di syarikat antarabangsa.
“Ia bukan sekadar LI biasa kerana program ini disusun secara teliti dan menyeluruh bagi memberikan pengalaman holistik yang merangkumi pembangunan kemahiran insaniah, komunikasi, keyakinan diri serta pendedahan kepada budaya kerja antarabangsa.
“Malah UniMAP@3i menampilkan beberapa elemen istimewa yang membezakan program ini dengan LI konvensional.
"Untuk kali ini, 11 pelajar dari bidang kejuruteraan dan keusahawanan telah terpilih untuk menyertai fasa pertama program sekali gus mencerminkan fokus UniMAP adalah pembelajaran pelbagai kemahiran,” katanya.
Ujarnya, pelajar ini telah dihantar ke empat buah negara iaitu Indonesia, Thailand, Jepun dan Turki.
“UniMAP merancang untuk memperluas skop UniMAP@3i pada masa akan datang dengan penglibatan lebih ramai pelajar, negara dan syarikat antarabangsa," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!