Empat lelaki dibebaskan kes edar 2 tan dadah

(Dari kiri) Kok Seng, Yan Foong, Qistina, Zaleha, Balasubramaniam dan Satish hadir ke Mahkamah Tinggi Klang pada Jumaat, bagi keputusan kes mengedar dadah lebih dua tan, enam tahun lalu.
(Dari kiri) Kok Seng, Yan Foong, Qistina, Zaleha, Balasubramaniam dan Satish hadir ke Mahkamah Tinggi Klang pada Jumaat, bagi keputusan kes mengedar dadah lebih dua tan, enam tahun lalu.
A
A
A
KLANG – [DIKEMAS KINI] Empat lelaki menarik nafas lega apabila dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Jumaat daripada dua pertuduhan mengedar dadah jenis ketamin seberat 310.832 kilogram dan kokain seberat 2,106.133 kilogram di sebuah gudang di Puncak Alam dan premis di Subang Pelangi, enam tahun lalu.

Hakim Norliza Othman membuat keputusan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Yap Yan Foong, 57; Tang Kok Seng, 61; T Balasubramaniam, 54; dan M Shateesh, 33; pada akhir kes pendakwaan.

Keempat-empat tertuduh ditangkap di sebuah gudang di Puncak Alam, di mana 11 guni berisi ketamin ditemui. Susulan itu, satu lagi serbuan dilakukan di sebuah rumah kedai di Subang Pelangi, yang membawa kepada penemuan 3,243 ketulan kokain.

Dalam keputusan tersebut, mahkamah menyatakan bahawa pegawai tangkapan hanya membuat pemerhatian awal terhadap seorang pemandu Perodua Myvi yang datang ke gudang itu, lalu membuka dan menutup premis sehari sebelum serbuan dilakukan.

Pegawai itu juga mendapati semua tertuduh serta sembilan warga Bangladesh hadir ke gudang pada waktu berbeza, dan kenderaan yang sama dilihat keluar masuk ke kawasan tersebut sebelum tangkapan dilakukan.

Semasa prosiding, pegawai tangkapan turut bersetuju dengan hujahan pembelaan bahawa tertuduh tidak dilihat berada di lokasi serbuan kedua di Subang Pelangi.

Pegawai berkenaan juga tidak mengetahui siapa lagi yang mempunyai akses ke bilik pertama dan kedua di premis Subang Pelangi.

Berikutan itu, mahkamah mendapati pendakwaan gagal membuktikan keempat-empat tertuduh mempunyai kawalan dan jagaan eksklusif terhadap gudang di Puncak Alam dan rumah kedai di Subang Pelangi memandangkan terdapat individu lain yang turut mempunyai akses ke lokasi tersebut.

Mahkamah juga mendapati keterangan pegawai tangkapan berkaitan kata-kata amaran dan maklumat yang didakwa diberi oleh tertuduh tidak disokong oleh saksi pendakwaan lain, termasuk laporan polis yang dibuat oleh pegawai tersebut.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, keadaan guni di tempat kejadian juga didapati dalam keadaan tertutup dan tidak lutsinar, menyebabkan kandungan tidak dapat dibezakan antara yang mengandungi dadah dan yang tidak.

Hakim turut menyatakan bahawa dokumen berkaitan urusan import kontena, sewaan gudang dan rumah kedai tidak mengandungi nama mana-mana tertuduh dalam kes ini.

Menurutnya, pegawai penyiasat juga gagal menyiasat kes secara menyeluruh sehingga wujud kelompangan dalam pendakwaan.

Pegawai tersebut juga tidak menyiasat syarikat berpangkalan di Pakistan yang telah menghantar kontena terlibat.

“Walaupun kes ini merupakan rampasan dadah terbesar di Malaysia, namun wujud kelompangan material dalam kes pendakwaan apabila dua individu yang memainkan peranan penting tidak dipanggil untuk memberi keterangan di mahkamah.

“Tiada juga sebarang usaha oleh pihak Kastam untuk mengesan dan membawa mereka ke muka pengadilan,” katanya.

Berdasarkan alasan tersebut, Hakim Norliza memutuskan bahawa pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi pertuduhan pengedaran kokain dan ketamin.

Mengikut pertuduhan, empat lelaki itu didakwa mengedar dadah berbahaya jenis ketamin seberat 310.832 kilogram di Pusat Perindustrian Alam Jaya, Puncak Alam, pada jam 4.30 petang, 18 Ogos 2019.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Sementara itu, Yan Foong dan Kok Seng turut berdepan satu lagi pertuduhan mengedar dadah jenis kokain seberat 2,106.133 kilogram di sebuah premis di Subang Pelangi, Seksyen U5, pada jam 9.20 malam, 18 Ogos 2019.

Dalam prosiding ini, pihak pendakwaan telah memanggil 27 saksi, termasuk beberapa saksi warga Bangladesh untuk memberikan keterangan.

Kesemua tertuduh diwakili peguam Zaleha al-Hayat dan Nur Qistina Mohd Nizam, manakala pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Nazneen Zulkifli dan Syazwani Zawawi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!