Malaysia gesa hentikan ketegangan Iran - Israel

Malaysia mengajak masyarakat antarabangsa dan PBB untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis itu. Foto hiasan
Malaysia mengajak masyarakat antarabangsa dan PBB untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis itu. Foto hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Malaysia menggesa agar semua usaha mesti diambil untuk mengelakkan peningkatan ketegangan dan potensi implikasi yang boleh menggugat kestabilan rantau susulan tentera Israel ke atas Iran.

Kementerian Luar dalam satu kenyataan berkata, dalam konteks ini juga Malaysia turut menyokong usaha berterusan Amerika Syarikat (AS) dan Iran untuk menyambung semula dialog diplomatik mengenai program nuklear Iran.

"Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan oleh rejim Zionis Israel ke atas Iran pada 13 Jun 2025. Serangan Israel ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menimbulkan ancaman serius ke atas keamanan dan keselamatan antarabangsa.

"Tindakan keganasan Israel tanpa provokasi ini bukan sahaja mengakibatkan kematian beberapa anggota tentera Iran, tetapi juga orang awam yang tidak berdosa dan memusnahkan infrastruktur kritikal di beberapa kawasan sekitar Iran," kata kenyataan itu.

Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengesahkan Israel telah melancarkan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran di Natanz termasuk menyasarkan saintis, komander tentera dan kilang peluru berpandu negara itu.

Dalam satu mesej video yang dikongsi, Netanyahu menyifatkan operasi itu sebagai satu ‘detik penentu dalam sejarah Israel’ dan menamakan serangan tersebut sebagai ‘Rising Lion’.

Menurut KLN, Malaysia juga mengajak masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis.

Jelas kenyataan itu, usaha tersebut penting bagi memastikan rejim tersebut dipertanggungjawabkan berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk Piagam PBB.

"Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian konsisten negara agar semua pihak mendukung undang-undang antarabangsa di mana setiap konflik perlu diselesaikan melalui dialog dan diplomasi yang kukuh bagi memastikan keamanan yang menyeluruh dan berkekalan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!