Media arus perdana benteng terakhir pertahan kepercayaan khalayak - Nik Justin

PETALING JAYA – Media arus perdana kekal sebagai pemangkin utama dalam mengekalkan kepercayaan pengguna walaupun dunia digital semakin sarat dengan kecerdasan buatan (AI) dan kandungan sintetik yang sukar ditentukan kesahihannya.
Ketua Komunikasi Korporat Karangkraf Sdn Bhd, Nik Justin Nik Ariffin berkata, kepercayaan merupakan nilai teras yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab oleh semua organisasi media, terutama yang telah lama bertapak dalam industri.
“Karangkraf sebuah syarikat berusia 47 tahun dan kepercayaan itu adalah sesuatu yang sangat penting untuk kami kekalkan. Ia bukan sekadar nilai tetapi aset utama dalam meneruskan kelangsungan operasi media kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis dalam forum bertajuk 'Synthetic Media and the Currency of Trust' anjuran Malaysian Digital Association (MDA) sempena D Conference 2025 di sebuah hotel di sini pada Khamis.
Forum itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Operasi Star Media Group Berhad, Lydia Wang sebagai moderator dan turut disertai tiga panelis iaitu Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima Berhad, Rafiq Razali; Pengarah Urusan Free Malaysia Today, Azeem Abu Bakar dan Naib Presiden Jualan APAC Teads, Diogo Andrade.
Menurut Nik Justin, cabaran utama dalam era digital hari ini adalah bagaimana untuk menyeimbangkan keperluan menghasilkan kandungan berkualiti dan telus, sambil memenuhi kehendak dua kumpulan penonton yang berbeza iaitu penonton tradisional dan generasi digital.
“Kami berdepan dengan dua generasi penonton, satu yang masih bergantung kepada medium tradisional dan satu lagi yang mahukan kandungan segera, padat dan interaktif. Cabaran paling besar adalah bagaimana mengekalkan kepercayaan dalam kedua-dua kelompok ini,” ujarnya.
Tambah beliau, walaupun Sinar Harian dan media lain telah mula mengguna pakai AI dalam proses editorial, kebergantungan sepenuhnya kepada teknologi tanpa semak dan imbang manusia adalah sesuatu yang berisiko tinggi.
“AI bantu dari segi kecekapan dan mempercepatkan penghasilan berita. Namun, manusia masih penting untuk memastikan ketepatan dan konteks yang betul dalam penyampaian maklumat. Di sinilah letaknya nilai sebenar media yang beretika,” jelasnya.
Nik Justin turut menekankan bahawa ketelusan tidak boleh dirunding atau dikompromi dalam mana-mana organisasi media.
“Sebagai media yang bertanggungjawab, kami tidak boleh berkompromi dengan ketelusan. Ini termasuklah dari mana sumber diperoleh, bagaimana berita itu disusun, dan siapa yang menulisnya. Ini bukan sekadar etika, tetapi tanggungjawab sosial,” katanya lagi.
Beliau mengakui bahawa ledakan penggunaan AI dalam industri kandungan menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pembaca mengenai kesahihan maklumat, lebih-lebih lagi apabila kandungan boleh dijana dalam sekelip mata.
“Ada masa kita klik sahaja sesuatu maklumat, tanpa tahu dari mana sumbernya datang. Ini sangat membimbangkan, dan sebab itulah media seperti Sinar Harian perlu terus jadi benteng kepada penyebaran maklumat yang sahih dan berwibawa,” tegas beliau.
Menurut beliau, dalam konteks industri, pemain-pemain digital dan pemasaran juga perlu memahami bahawa kebergantungan total kepada sistem automatik akan melemahkan ekosistem komunikasi jika tiada panduan etika.
“Kita bukan tolak AI, tetapi kita tekankan bahawa mesti ada pengawasan manusia. Itulah yang membezakan media yang berwibawa dengan mesin penghasil kandungan semata-mata,” katanya.
Beliau turut menyentuh tentang kerisauan dalam kalangan media arus perdana terhadap trend penggunaan ‘deepfake’ dan kandungan manipulatif yang semakin sukar dikesan.
“Bila maklumat boleh dimanipulasi dengan mudah, persepsi boleh dibentuk tanpa asas yang betul. Maka peranan kami semakin besar dalam mendidik masyarakat tentang yang mana satu fakta dan yang mana satu manipulasi,” katanya.
Nik Justin menambah, media seperti Sinar Harian juga harus kembali kepada prinsip-prinsip konvensional iaitu menyemak, menapis dan mengesahkan walaupun dalam ekosistem digital serba pantas hari ini.

“Lambakan berita di media sosial, TikTok dan pelbagai platform kini membuatkan orang ramai makin sukar memilih apa yang benar. Tapi apabila isu itu bersifat kompleks seperti politik, ekonomi dan sosial, akhirnya orang tetap akan kembali kepada media yang dipercayai,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa kredibiliti media tidak hanya penting kepada pembaca, malah kepada pengiklan, rakan niaga dan pelanggan korporat yang mengharapkan saluran yang sah dan tepat untuk menyampaikan mesej mereka.
“Kita tak boleh harapkan AI untuk bina keyakinan pelanggan. Itu datang dari rekod prestasi dan reputasi media itu sendiri,” katanya lagi.
Dalam sesi itu, semua panel sependapat bahawa masa depan komunikasi digital menuntut keseimbangan antara penggunaan teknologi dan pematuhan kepada etika serta integriti.
“Kesimpulannya, manusia masih perlu memimpin bukan hanya teknologi dan kami sebagai media bertanggungjawab memastikan kepercayaan itu terus terjaga,” ujar Nik Justin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!