Tiga buah rumah rosak dipercayai angkara khianat

Keadaan salah sebuah rumah yang rosak akibat letupan pada awal pagi Khamis.
Keadaan salah sebuah rumah yang rosak akibat letupan pada awal pagi Khamis.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tiga buah rumah di Taman Serumpun di sini mengalami kerosakan akibat satu letupan kuat yang dipercayai berpunca daripada perbuatan khianat pada awal pagi, Khamis.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 1.05 pagi, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam yang memaklumkan terdengar satu letupan kuat di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, siasatan awal mendapati letupan tersebut dipercayai berpunca daripada mercun yang dibaling ke dalam salah sebuah rumah.

"Impak letupan bukan sahaja merosakkan rumah yang disasarkan malah turut menjejaskan dua rumah yang bersebelahan.

"Antara kerosakan yang dilaporkan termasuk bahagian siling dan halaman rumah, selain kerosakan pada kenderaan milik penghuni dua rumah terbabit," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Helmi berkata, hasil siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berkaitan dengan hutang.

Jelasnya, dua lelaki yang menaiki sebuah kereta disyaki terlibat, namun identiti mereka masih belum dikenal pasti.

Sehubungan itu, katanya, pihak polis meminta mana-mana individu yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian agar tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah atau terus menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, ASP Assan bin Alimudin di talian 012-4418081.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dengan api serta Seksyen 6 Akta Bahan Letupan 1957.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!