Pesawat Air India terhempas: Tiada mangsa dilaporkan selamat

Asap tebal kelihatan dari bangunan yang musnah selepas pesawat Air India terhempas di Ahmedabad, Gujarat. Agensi
Asap tebal kelihatan dari bangunan yang musnah selepas pesawat Air India terhempas di Ahmedabad, Gujarat. Agensi
A
A
A

AHMEDABAD – Tiada mangsa dilaporkan selamat selepas sebuah pesawat Air India yang membawa 242 penumpang terhempas dan terbakar sejurus berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sardar Vallabhbhai Patel di Ahmedabad pada Khamis.

Pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner yang dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Gatwick, London itu dilaporkan menjunam ke sebuah bangunan asrama yang menempatkan doktor muda tempatan, menyebabkan kebakaran besar serta kemusnahan menyeluruh.

Menurut polis, lebih 100 mayat telah dibawa ke hospital dan tiada petanda kemungkinan mangsa terselamat. Dianggarkan 11 kanak-kanak turut berada dalam pesawat tersebut.

Rakaman telefon bimbit menunjukkan pesawat itu terbang rendah sebelum menjunam dan meletup, dengan serpihan pesawat tertanam di dalam bangunan. Asap tebal hitam kelihatan naik tinggi dari lokasi kejadian.

“Kami dengar dentuman kuat dan bergegas keluar dari rumah. Orang ramai menjerit dan berlari lintang-pukang,” kata seorang saksi, Raju Prajapati yang tinggal beberapa ratus meter dari lokasi kejadian.

Pesawat tersebut dilaporkan berlepas dari landasan 23 pada jam 1.39 petang waktu tempatan (9.09 pagi waktu UK). Pihak kawalan trafik udara mengesahkan juruterbang sempat mengeluarkan isyarat kecemasan 'mayday', namun komunikasi terputus selepas itu.

Juruterbang dikenali sebagai Kapten Sumeet Sabharwal, mempunyai pengalaman lebih 8,200 jam penerbangan dan disifatkan sebagai sangat berpengalaman.

Selain warga Britain, pesawat itu turut membawa 169 warga India, tujuh rakyat Portugal dan seorang warga Kanada.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Perdana Menteri India Narendra Modi menyifatkan tragedi itu sebagai amat memilukan dan sukar digambarkan dengan kata-kata.

Pemimpin Parti Buruh Britain, Sir Keir Starmer, turut menyuarakan rasa sedih mendalam.

“Insiden yang melibatkan pesawat menuju ke London dengan ramai warga British ini sangat menyayat hati.

“ISaya sedang menerima maklumat terkini dan hati saya bersama semua keluarga mangsa,” katanya.

Insiden ini mungkin menjadi antara tragedi pesawat paling buruk membabitkan rakyat Britain sejak 54 warganya terkorban dalam insiden Pan Am 103 di Lockerbie pada tahun 1988.

Punca nahas masih dalam siasatan, namun Boeing sebelum ini pernah dikritik ekoran beberapa insiden membabitkan model lain walaupun Dreamliner tidak pernah terlibat dalam kemalangan maut sepanjang 14 tahun perkhidmatannya.

Pihak berkuasa kini sedang meneruskan operasi mencari dan mengenal pasti mangsa di lokasi yang musnah teruk itu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!