JKKP, CIDB digesa siasat kematian warga British

SHAH ALAM - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) digesa menjalankan siasatan menyeluruh berhubung insiden kematian seorang pengembara solo warga British berusia 25 tahun di sebuah tapak pembinaan di Bangsar baru-baru ini.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Chong Chieng Jen berkata, langkah itu bagi bagi melihat kemungkinan terdapat sebarang pelanggaran terhadap prosedur operasi standard (SOP) atau peruntukan di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 (Pindaan) 2022.
Ujar Chieng Jen, tapak pembinaan adalah kawasan berisiko tinggi dan tidak boleh diakses oleh orang awam dalam apa jua keadaan.
“Sehubungan itu, semua pihak terutamanya mereka yang bertanggungjawab menjaga aspek
keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di tapak pembinaan, perlu menilai semula keberkesanan kawalan keselamatan di lokasi yang berisiko tinggi berkenaan.
“Seksyen 15 AKKP 1994 (Pindaan) 2022 memberi penekanan mengenai tanggungjawab majikan menjaga keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja mereka manakala Seksyen 17 pula memberi fokus kepada orang lain yang berada di tempat kerja terbabit,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, seksyen 17 AKKP (Pindaan) 2022 turut memperuntukkan bahawa majikan dan orang yang bekerja sendiri wajib memastikan, individu lain yang bukan pekerja tidak terdedah kepada risiko keselamatan atau kesihatan akibat aktiviti mereka.
“Majikan dan orang yang bekerja sendiri tersebut juga wajib memberi maklumat kepada individu lain yang berada di tempat kerja mereka mengenai risiko yang boleh menjejaskan keselamatan atau kesihatan mereka ketika berada di lokasi tersebut.
“Semua pihak yang terlibat termasuk pemaju dan kontraktor dalam projek pembinaan perlu memahami tanggungjawab mereka serta tindakan undang-undang bakal dihadapi jika gagal mematuhi akta berkenaan,” ujarnya.
Katanya, mereka yang melakukan kesalahan sedemikian di bawah akta tersebut, boleh dikenakan denda maksimum RM500,000, penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.
“Pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan setiap tapak pembinaan dilengkapi dengan pagar perimeter yang berkesan, pengawasan keselamatan yang mencukupi, kawalan keluar masuk yang sistematik serta papan tanda amaran yang jelas dan mudah difahami.
“NIOSH sedia memberikan kerjasama dan membantu pihak berkuasa berkaitan untuk mempertingkatkan budaya keselamatan di tapak pembinaan, mempergiatkan program latihan dan kesedaran, serta membantu industri untuk mematuhi sepenuhnya kehendak AKKP (Pindaan) 2022,” menurutnya.
Ulas Chieng Jen, akta berkenaan juga memperkukuhkan prinsip tanggungjawab bersama melibatkan semua pihak berkepentingan termasuk majikan, kontraktor utama, subkontraktor, penyedia perkhidmatan keselamatan dan pemilik premis.
“Pengurusan risiko di tapak pembinaan tidak hanya terhad kepada tanggungjawab melindungi pekerja, malah ia perlu memastikan keselamatan orang awam terutama di kawasan bandar yang padat dengan penduduk dan pelancong,” kata beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!