Pendaki warga British meninggal dunia ketika turun dari Gunung Kinabalu

Operasi menurunkan pendaki yang ditemukan tidak sedarkan diri dilakukan MOSAR dan malim gunung di Gunung Kinabalu.
Operasi menurunkan pendaki yang ditemukan tidak sedarkan diri dilakukan MOSAR dan malim gunung di Gunung Kinabalu.
A
A
A

RANAU - Seorang pendaki warga emas meninggal dunia ketika menuruni puncak Gunung Kinabalu di Kilometer 8.2 selepas Checkpoint Sayat-Sayat dalam kejadian awal pagi Selasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi, lelaki warga British berusia 74 tahun itu pada awalnya ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum dibawa turun oleh Pasukan Mencari dan Menyelamat di Gunung (MOSAR).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Mohd Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.17 pagi untuk bantuan menurunkan pendaki tersebut dari gunung.

Katanya, seramai empat anggota dikejar ke lokasi dan melakukan pendakian di tempat mangsa dilaporkan tidak sedarkan diri.

"Anggota MOSAR bersama pasukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Taman dan malim gunung telah memberi rawatan awal terhadap mangsa.

"Mangsa kemudian terus diangkat ke Panalaban Hut untuk dibawa turun menuju ke Timpohon Gate dengan menggunakan pengusung," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Katanya lagi, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut.

"Bagaimanapun, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dan mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

"Operasi ditamatkan selepas operasi selesai," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!