Cadangan elaun luar bandar akan diperhalusi di kabinet - Dr Dzulkefly

KOTA KINABALU – Cadangan untuk mengecualikan doktor yang bertugas di kawasan luar bandar Sabah dan Sarawak daripada dasar elaun yang dipegun akan dibawa ke mesyuarat kabinet untuk pertimbangan selanjutnya, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, isu berkenaan merupakan antara perkara utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Bersama Pembangunan Kesihatan Sabah semasa lawatan kerja rasmi beliau ke negeri itu.
“Semua perkara tersebut telah dibangkitkan dan kami mengambil pertimbangan yang sangat serius. Dalam mesyuarat kabinet nanti, saya akan membawa isu dan agenda ini untuk diperhalusi serta disusuli dengan tindakan lanjut.
“Saya yakin perkara ini akan dapat dipertimbangkan dengan sewajarnya,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penyerahan mesin dialisis daripada kerajaan negeri di Hospital Queen Elizabeth II (HQEII), di sini pada Khamis.

Dr Dzulkefly berkata demikian ketika mengulas cadangan Exco Kesihatan Sabah, Datuk James Ratib yang mencadangkan supaya elaun sara hidup doktor di kawasan luar bandar tidak dibekukan, memandangkan cabaran besar yang mereka hadapi.
Mengulas lanjut, beliau turut memberi bayangan terdapat berita gembira menyusul hasil perbincangan dalam mesyuarat tersebut.
“Dalam mesyuarat tadi telah dibentangkan satu per satu rancangan, rekomendasi dan cadangan. Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Putrajaya telah memberikan respons positif.
“Kita juga memandang ke hadapan dengan permohonan hampir RM4 bilion menjelang tahun 2030 bagi tujuan 'catch-up' segera dan berkesan, khususnya dalam meningkatkan perkhidmatan di 24 hospital di Sabah.
“Banyak perkara lain yang perlu diberikan sokongan dan dokongan sewajarnya untuk memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan di Sabah lebih mampan,” katanya.
Sementara itu, James ketika ditemui berkata, beliau amat berharap cadangan itu diterima baik di peringkat Persekutuan.
“Saya telah meminta supaya elaun sara hidup doktor di Sabah dan Sarawak tidak lagi dipegun. Sekurang-kurangnya, menteri telah memberi komitmen untuk membawanya ke Kabinet dan ini memberikan harapan baharu kepada petugas kesihatan luar bandar,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!