Jelajah Zakat MAINPP 2025 perkukuh peranan sosial ummah

Mohamad (tiga dari kiri) ketika melancarkan Program Jelajah Zakat MAINPP 2025 dengan tema Indahnya Syariat Zakat di Masjid Jamek Tasek Gelugor, pada Rabu.
Mohamad (tiga dari kiri) ketika melancarkan Program Jelajah Zakat MAINPP 2025 dengan tema Indahnya Syariat Zakat di Masjid Jamek Tasek Gelugor, pada Rabu.
A
A
A
TASEK GELUGOR - Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) melancarkan Program Jelajah Zakat MAINPP 2025 dengan tema Indahnya Syariat Zakat sebagai inisiatif memperkukuh kefahaman masyarakat terhadap peranan zakat yang menjadi instrumen sosial dalam pembangunan ummah.

Program yang dirangka sepanjang bulan Jun 2025 itu menyasarkan penjelasan mendalam tentang peranan MAINPP dalam pengurusan kutipan dan agihan zakat secara sistematik, telus dan berkesan, di samping memperkenalkan pelbagai inisiatif strategik kepada masyarakat.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata, antara pengisian utama jelajah termasuk sesi taklimat zakat, klinik zakat untuk pembayar mendapatkan bimbingan secara langsung, serta program pembangunan komuniti khusus kepada golongan asnaf di seluruh negeri.

Menurutnya, pelaksanaan Jelajah Zakat ini selari dengan Agenda Pembangunan Agama Islam (APAI2030), aspirasi Malaysia Madani dan visi Penang 2030 ke arah negeri pintar, hijau dan berteraskan keluarga sebagai inspirasi negara.

“Dengan tadbir urus zakat yang cekap dan berkesan, bukan sahaja golongan asnaf mendapat manfaat, malah ia menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan sosial dan ekonomi negeri,” katanya ketika berucap dalam Majlis Pelancaran Program Jelajah Zakat MAINPP 2025 di Masjid Jamek Tasek Gelugor, di sini, pada Rabu.

Mohamad yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang berkata, program ini juga menjadi platform memperkukuh kerjasama antara MAINPP dengan institusi pendidikan, sektor korporat dan NGO dalam usaha memperluas ekosistem zakat yang mampan dan inklusif.

Tambahnya, Jelajah Zakat MAINPP 2025 diharapkan dapat menyemarakkan kesedaran masyarakat bahawa zakat bukan sekadar kewajipan, tetapi satu keindahan dalam syariat Islam yang membawa keberkatan kepada individu dan kesejahteraan kepada masyarakat.

“Pelancaran Jelajah Zakat MAINPP pada hari ini adalah bertepatan dalam usaha kita meningkatkan lagi kesedaran terhadap ibadah berzakat dalam kalangan umat Islam di negeri Pulau Pinang.

“Semoga siri jelajah yang dilaksanakan bermula di Masjid Jamek Tasek Gelugor ini menjadi manifestasi jelas kepada pencapaian matlamat kelestarian muzakki dan mustahik, yang bukan sahaja bertujuan untuk meningkatkan prestasi kutipan dan agihan zakat tetapi juga memperkasa tadbir urus Zakat MAINPP dalam mengangkat agenda sosioekonomi ummah di negeri ini,” tambahnya.

 
 

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!