Nahas pelajar UPSI: Perak kemuka cadangan tambah baik JRTB

Saarani (tiga dari kiri) ketika hadir menyempurnakan Majlis Penutupan Hari Eksport Perak 2025 di sebuah hotel pada Rabu.
Saarani (tiga dari kiri) ketika hadir menyempurnakan Majlis Penutupan Hari Eksport Perak 2025 di sebuah hotel pada Rabu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak akan mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan Persekutuan berkaitan keperluan menambah baik laluan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang menghubungkan Perak dengan Kelantan, termasuk mempertimbangkan pembinaan jajaran baharu.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat mingguan Exco pada Rabu.

Menurutnya, Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) akan menyediakan satu kertas cadangan Exco berhubung perkara tersebut.

“Kita dimaklumkan bahawa jalan raya itu sebenarnya telah tamat tempoh konsesi 40 tahun lalu. Jadi, sudah tiba masanya untuk dikaji semula. Sebahagiannya memang sudah nampak dasar, nampak tanah. Tak boleh tampal.

“Sebab itu kita minta Datuk Seri Nizar tadi menyediakan senarai apa yang perlu dibuat dari segi jajaran, pelebaran, bahan binaan dan semua keperluan termasuklah lampu jalan serta garisan putih,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Hari Eksport Perak 2025 di sebuah hotel di sini pada Rabu.

Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican serta Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed.

Sementara itu, Saarani berkata, satu lagi kertas Exco akan dikemukakan berkaitan keperluan menaik taraf Hospital Gerik serta menambah bilangan pakar perubatan dan fasiliti kesihatan di kawasan laluan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan, diberi tanggungjawab untuk menyediakan kertas cadangan tersebut.

“Jika berlaku insiden besar, Hospital Gerik itu tidak cukup untuk menampung jumlah mangsa yang terlalu ramai. Kita juga bincang tadi agar kerajaan Persekutuan boleh mempertimbangkan kemudahan lain kerana laluannya panjang dan mengambil masa jika insiden berlaku di tengah-tengah jajaran itu.

“Kalau ada di tengah-tengah itu, mungkin boleh diwujudkan balai polis bergerak, bomba atau jabatan kerajaan yang berkaitan supaya masa untuk memberi bantuan dapat dipendekkan,” katanya.

Saarani berkata, cadangan tersebut turut akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang dijadual hadir ke Program Madani Rakyat 2025 di Lumut pada Ahad ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!