JPN arah siasat guru hina kematian 15 pelajar UPSI

IPOH - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) mengarahkan satu laporan lengkap disediakan berhubung tindakan seorang guru yang membuat hantaran jelik berkaitan nahas tragis yang meragut nyawa 15 penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Isnin lalu.
Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah berkata, laporan lengkap itu perlu disediakan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) selaras dengan surat pekeliling yg dikeluarkan oleh KPM berkaitan pengurusan isu.
Menurut beliau, siasatan mendapati pemilik akaun Facebook tersebut merupakan seorang pendidik yang bertugas di salah sebuah sekolah menengah di negeri ini.
"Saya kesal kesal atas tindakan pemilik akaun Facebook berkaitan dengan tragedi pelajar UPSI.
"Apabila perkara tersebut telah tular, pihak PPD telah menghubungi pengetua dan seterusnya menasihati guru tersebut untuk memadamkan hantaran berkenaan.
"Semakan pada jam 8.10 malam (Selasa), hantaran berkenaan telah dipadamkan," katanya ketika dihubungi di sini.
Terdahulu, media melaporkan seorang guru telah mencetuskan kontroversi dengan memuat naik hantaran yang jelik sehingga mengguris hati ahli keluarga mangsa.
Tular di media sosial memaparkan status di akaun milik guru itu yang menyatakan kematian kesemua mangsa itu adalah sebagai dalam keadaan hina.
Selain itu, lelaki itu menyifatkan mangsa bukan dalam kalangan orang beriman kerana meninggal dunia dalam keadaan berhutang dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Guru itu juga mendakwa dia menghidap penyakit skizofrenia bagaimanapun telah memuat naik hantaran memohon maaf.
Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin memaklumkan bahawa tiada laporan diterima berkaitan hantaran jelik membabitkan penjawat awam terbabit.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!