'Ambil Aleesyah dulu, barulah sayang' - Kata-kata terakhir Sakirah

BERA – "Ambil Aleesyah dulu, kemudian barulah sayang."
Demikian kata-kata terakhir oleh mangsa lemas, Sakirah Akob, 31, terhadap Sarjan Abdul Wahid Randa, 32, ketika menghulurkan anak mereka, Aleesyah Humairah, setahun empat bulan, selepas kereta Perodua Bezza terjunam ke dalam Sungai Triang berhampiran Pasar Ayam Kerayong di sini pada Isnin.
Sakirah ditemui dalam keadaan terapung oleh orang awam yang sedang berjoging pada jarak 2.5 kilometer dari lokasi kejadian sekitar jam 8 pagi tadi pada Rabu.
Jelas Abdul Wahid, pengorbanan besar isterinya amat diingati sepanjang hayatnya dan beliau reda dengan dugaan berat yang dihadapinya, kehilangan insan tersayang.
"Walaupun sedih, namun saya bersyukur kerana jasadnya dapat ditemui dan ini berkat kerjasama banyak pihak yang membantu dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sejak Isnin lalu.

"Saya amat menghargai dan berterima kasih atas bantuan dan usaha dilakukan, termasuk solat hajat," katanya, sedang menuju ke Bangi ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.
Jelasnya, jenazah isterinya akan diterbangkan kira-kira jam 8 pagi pada Khamis untuk dikebumikan di tanah kelahirannya, Kampung Angan-Angan, Tenom, Sabah.
Sudah bertugas di Kem Bera sejak lapan tahun lalu, aktiviti memancing menjadi aktiviti riadah pada hari terakhir cutinya sebelum kembali bertugas.
Mengakui sudah trauma dengan aktiviti itu, beliau memberitahu insiden tersebut menjadi pengajaran besar buat dirinya.
"Saya ingin menasihatkan kepada orang lain supaya tidak meletakkan kenderaan di tepi sungai kerana bencana, bahaya tidak kira masa," jelasnya.
Ditanya mengenai keadaan anaknya, beliau memberitahu Aleesyah masih tercari-cari dengan isterinya yang mesra dipanggil dengan gelaran 'mummy'.
"Anak dalam keadaan sihat cuma dia tidak mahu dengan orang lain kecuali saya buat masa ini.
"Saya akan memenuhi harapan arwah untuk membesarkan anak sebaik mungkin, agar menjadi insan berguna kepada agama, bangsa dan negara," tambahnya.
Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang, mangsa sempat menyerahkan anak perempuannya kepada Abdul Wahid sebelum dihanyutkan arus deras sungai.
Sebelum itu, mangsa bersama anak berada dalam kereta tersebut kira-kira lapan meter dari lokasi suaminya memancing.
Kereta yang dinaiki mangsa berjaya dinaikkan kira-kira jam 12.30 tengah hari pada Selasa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

