Pakistan naikkan perbelanjaan pertahanan susulan konflik dengan India

ISLAMABAD - Kerajaan Pakistan pimpinan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif menaikkan perbelanjaan pertahanan negara sebanyak 20 peratus dalam Belanjawan 2025–2026, hanya beberapa minggu selepas hampir tercetus perang kelima dengan musuh tradisinya, India.
Belanjawan yang dibentangkan pada Selasa itu memperuntukkan sebanyak 2.55 trilion rupee Pakistan (bersamaan kira-kira RM49.8 bilion) khusus untuk sektor pertahanan, meningkat daripada peruntukan tahun kewangan semasa yang akan berakhir hujung bulan ini.
Peningkatan ketara itu berlaku ketika kerajaan turut mengurangkan jumlah keseluruhan perbelanjaan negara sebanyak tujuh peratus kepada 17.57 trilion rupee Pakistan (sekitar RM343.4 bilion), menunjukkan keutamaan kerajaan dalam memperkukuh pertahanan nasional susulan ketegangan dengan India.
Langkah drastik itu dipercayai dipacu oleh pertempuran paling serius antara dua negara kuasa nuklear Asia Selatan itu dalam tempoh hampir tiga dekad.
Pada Mei lalu, pasukan tentera kedua-dua negara terlibat dalam serangan balas menggunakan jet pejuang, peluru berpandu, dron dan artileri selama beberapa hari sebelum satu gencatan senjata diumumkan.
Insiden tercetus selepas serangan maut oleh kumpulan bersenjata berlaku di Pahalgam, wilayah Kashmir yang ditadbir India pada 22 April. India menuduh Pakistan sebagai dalang serangan tersebut, namun Islamabad menafikan sebarang penglibatan.
Pakar ekonomi menjangkakan peningkatan perbelanjaan pertahanan ini boleh memberi kesan kepada perbelanjaan pembangunan negara.
Menurut laporan Reuters, langkah itu merupakan strategi kerajaan untuk memastikan keupayaan ketenteraan Pakistan tidak ketinggalan berbanding India.
Sebagai perbandingan, India memperuntukkan sebanyak AS$78.7 bilion (RM435.5 bilion) bagi bajet pertahanan tahun kewangan 2025–2026, meningkat hampir 10 peratus berbanding tahun sebelumnya. New Delhi turut memberi bayangan bahawa perbelanjaan pertahanan akan terus ditingkatkan dalam bajet-bajet akan datang.
Pemerhati antarabangsa menyuarakan kebimbangan bahawa peningkatan ketara dalam bajet ketenteraan kedua-dua negara berpotensi mencetuskan perlumbaan senjata baharu di Asia Selatan dan memberi tekanan besar terhadap kestabilan serantau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

