Rujuk Pihtas jika belum sempurna rukun, wajib haji

MAKKAH – Jemaah haji Malaysia yang belum menyempurnakan rukun dan syarat wajib haji diminta segera merujuk kepada Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci (Pihtas) sebelum pulang ke tanah air.
Pengarah Operasi Bimbingan Tabung Haji (TH), Shahrin Awaludin berkata, walaupun kebanyakan jemaah telah selesai menunaikan semua amalan penting haji, namun masih ada yang perlu menyemak semula pelaksanaan ibadah haji masing-masing.
“Alhamdulillah, ramai jemaah kita telah selesai melaksanakan tahalul thani dan berada pada peringkat akhir ibadah. Namun, kita tidak mahu ada yang tertinggal atau terlepas mana-mana bahagian penting dalam rukun dan wajib haji.
“Sebab itu pihak bimbingan TH akan adakan sesi penilaian ibadat haji di semua maktab dan KT. Tujuannya adalah untuk menyemak sama ada jemaah telah sempurnakan rukun dan wajib haji mereka atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui pemberita di Abraj Al Janadriah di sini.
Shahrin berkata, semakan akan dilakukan secara terperinci bermula daripada niat ihram, tempat berniat, keberadaan di Arafah, mabit di Muzdalifah dan Mina, lontaran jamrah serta jenis nafar yang dipilih sama ada awwal atau thani.
Tambah beliau, sekiranya terdapat kekurangan atau kekeliruan dalam pelaksanaan haji, pembimbing akan memberi panduan lengkap termasuk keperluan membayar dam yang ditetapkan syarak.
“Antara langkah penambahbaikan tahun ini ialah dengan mengedarkan borang Google Form kepada semua jemaah. Kita nak pastikan walaupun ada yang tak dapat hadir sesi post-mortem, mereka tetap boleh buat semakan sendiri berdasarkan senarai semak yang diberi.
“Kita tak nak jemaah balik ke Malaysia dalam keadaan hajinya belum sempurna. Bukan sekadar selesai ibadah, tapi mesti sah dari sudut fiqh dan diterima ALLAH SWT,” ujarnya.
Kata Shahrin lagi, rukun dan syarat wajib haji adalah perkara yang sangat penting.
Beliau berkata, disebabkan itu pihaknya tidak mahu perkara berbangkit ditimbulkan hanya selepas jemaah haji pulang ke Malaysia.
“Contohnya pembayaran dan pelaksanaan dam perlu dilaksanakan ketika berada di Tanah Suci. Jadi bila dah balik ke Malaysia, nak bayar dam tak boleh. Nak sembelih kambing sebagainya kena buat di Tanah Suci.
“Jadi saya nasihatkan jemaah jangan malu, jangan segan boleh berhubung terus dengan pembimbing melalui aplikasi e-TAIB jika ada soalan atau ingin mendapatkan pengesahan atas apa juga masalah ibadat yang mereka hadapi setelah selesai mengerjakan haji.
“Ini kerana jika mereka tak sempurnakan rukun dan syarat wajib haji maka ibadah Rukun Islam kelima mereka tak sah dan tak mendapat haji,” katanya.
Beliau berkata lagi, sekiranya ada perkara wajib ditinggalkan jemaah, mereka perlu sempurnakan dulu dam dan sebagainya barulah akan mendapat kesempurnaan haji tersebut.
“Itu impak dia. Sebab itu setelah mereka berbelanja agak banyak untuk datang mengerjakan haji di Tanah Suci sangat penting bagi jemaah melakukan senarai semak ini bagi memastikan semua rukun dan syarat wajib haji sudah dilaksanakan.
“Adalah sangat penting mereka dapat sempurnakan haji mereka seperti mana yang disebut oleh ALLAH SWT. Kita doakan semua jemaah haji memperoleh haji yang mabrur,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

