Lagi kematian jemaah haji Malaysia kerana serangan jantung

MAKKAH – Seorang lagi jemaah haji Malaysia meninggal dunia di Tanah Suci, menjadikan jumlah keseluruhan 11 kematian setakat ini bagi musim haji 1446H/2025M.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, jemaah haji berkenaan, Jamaliah Masron, 68, menghembuskan nafas terakhir pada jam 6.05 petang (waktu Arab Saudi) pada Isnin di Klinik Kecemasan Bangunan Abraj Janadriyah di sini, akibat serangan jantung.
Menurutnya, Allahyarham berasal dari Kota Tinggi, Johor.
“Lembaga Tabung Haji (TH) telah memaklumkan perkara tersebut kepada waris Allahyarham di Malaysia.
“Saya, bagi pihak kerajaan dan Tabung Haji, mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham. Marilah sama-sama kita doakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat,” katanya menerusi satu kenyataan.
Dalam pada itu, beliau berkata segala keperluan berkaitan urusan pengurusan jenazah Allahyarham, termasuk mandi, solat jenazah di Masjidil Haram, dan pengebumian di Tanah Suci Makkah, diuruskan oleh pihak TH.
Difahamkan, ini merupakan kematian ke-10 jemaah haji Malaysia akibat serangan jantung, manakala seorang lagi jemaah meninggal dunia akibat jangkitan kuman dan kegagalan organ pada 4 Jun lalu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

