'Sedekah bukan hanya tentang kebendaan' - Rhoma Irama tak tagih royalti

ARTIS veteran Indonesia, Rhoma Irama memutuskan untuk tidak akan menagih sebarang royalti daripada mana-mana pihak termasuk peminat yang membawakan lagu-lagu dangdut ciptaannya.
Memetik laporan Kompas.com, keputusan itu dibuat susulan industri muzik Indonesia yang kini hangat dengan isu royalti antara komposer dan penyanyi, sehinggakan peminat tidak dibenarkan menyampaikan lagu artis secara sewenang-wenangnya.
Rhoma yang digelar Raja Dangdut Indonesia berkata, orang ramai bebas menyanyikan lagunya tanpa perlu meminta izin atau membayar sebarang bayaran.
“Kalau saya secara peribadi, penyanyi dangdut di seluruh dunia boleh menyanyikan lagu saya.
“Saya tidak akan menagih atau meminta royalti, tidak perlu membayar kepada saya. Sedekah bukan hanya tentang kebendaan.
“Dengan adanya kes seperti ini (polemik komposer dan penyanyi), orang ramai menjadi takut untuk menyanyikan lagu saya,” katanya menerusi satu hantaran di saluran Youtubenya pada Selasa.
Bagaimanapun, pelakon senior itu menegaskan bahawa keputusan tersebut dibuat atas dasar peribadi, bukan kerana paksaan atau nasihat daripada pihak lain.
Jelas beliau lagi, ia juga bukan satu bentuk kritikan terhadap profesion penciptaan lagu di Indonesia.
“Kalau mereka (komposer) memperjuangkan hak mereka, itu tiada masalah dan memang sah di sisi undang-undang,” ujarnya.

Dalam pada itu, vokalis kumpulan Setia Band, Charly Van Houten turut menyatakan pandangan sama, iaitu memberikan kebebasan kepada peminat mahupun rakan penyanyi untuk membawakan lagu ciptaannya.
Charly memaklumkan, keputusan itu dibuat bagi menjernihkan situasi dan kekeliruan ketika Indonesia sedang membicarakan isu royalti.
“Daripada keliru, saya izinkan semua untuk menyanyikan lagu-lagu saya.
“Tiada kewajipan untuk membayar royalti, salam sejahtera,” jelas pelantun Putri Iklan itu.
Pendekatan kedua-dua artis senior tersebut menerima reaksi positif daripada warganet kerana tidak takut rezeki mereka diambil orang lain.
Untuk rekod, antara artis yang masih berpendirian tegas dalam menuntut royalti lagu ialah maestro muzik terkenal, Ahmad Dhani.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

