Krisis LA: Trump melebih-lebih kerah unit Marin

LOS ANGELES - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengerahkan kira-kira 700 anggota Marin bersama 2,000 Pengawal Negara tambahan ke Los Angeles (LA) ketika protes membantah penahanan imigresen yang berterusan di bandar itu selama empat hari berturut-turut.
Keputusan melulu itu bagaimanapun diselar Gabenor California, Gavin Newsom meskipun Trump mendakwa tindakan tersebut dibuat atas penilaian situasi yang kononnya meruncing dan keganasan yang semakin tidak terkawal.
"Pasukan Marin tidak sepatutnya dikerahkan untuk menghadapi rakyat Amerika bagi memenuhi fantasi gila seorang Presiden diktator. Tindakan itu tidak mencerminkan nilai Amerika," ujarnya menerusi catatan di platform X.
Ketua Polis LA, Jim McDonnell juga senada dengan Newsom apabila memaklumkan pihak berkuasa tempatan sebenarnya dapat mengawal situasi di bandar itu tanpa memerlukan campur tangan Pengawal Negara.
"Penempatan pasukan persekutuan dan anggota tentera tanpa penyelarasan secara langsung hanya mewujudkan cabaran logistik serta berisiko mencetuskan kekeliruan ketika insiden kritikal," katanya.
Sementara itu, Jabatan Polis LA (LAPD) mengesahkan puluhan individu telah diberkas dalam tempoh lebih tiga hari manakala lima anggota mereka cedera ringan.
Ketika krisis semakin memuncak di LA, kumpulan penunjuk perasaan turut bertempur dengan polis di New York dan Austin di Texas yang membawa kepada penahanan sejumlah peserta protes.
Tindakan Trump turut mendapat perhatian beberapa penganalisis termasuk Profesor Rachel VanLandingham di Southwestern Law School di LA.
"Penggunaan tentera adalah tindakan yang sangat jarang diambil oleh Presiden AS," katanya yang pernah memegang jawatan leftenan kolonel di Pasukan Tentera Udara. - Agensi
Info:
>Peruntukan Title 10 Kod AS membenarkan Presiden mengerahkan unit Pengawal Negara untuk perkhidmatan persekutuan jika wujud ancaman pemberontakan atau jika pasukan keselamatan tidak dapat melaksanakan undang-undang.
>Undang-undang 1878 secara amnya melarang tentera AS termasuk Pengawal Negara daripada mengambil bahagian dalam penguatkuasaan undang-undang awam. Tetapi, tentera dibenarkan untuk melindungi ejen persekutuan yang menjalankan tugas penguatkuasaan undang-undang dan melindungi harta persekutuan.
>Ia kali terakhir digunakan Presiden ke-41 AS, George H W Bush pada 1992 apabila Gabenor California meminta bantuan pasukan tentera bagi mengawal rusuhan ketika perbicaraan aktivis Rodney King di LA.
>Kali terakhir Pengawal Negara dikerahkan di negeri tanpa permintaan gabenor adalah pada 1965 apabila Presiden ke-36 AS, Lyndon B Johnson menghantar pasukan tentera untuk melindungi penunjuk perasaan hak sivil di Montgomery, Alabama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

