'Majoriti yang maut duduk sebelah kiri' - Pelajar UPSI

PUTRAJAYA – “Majoriti yang meninggal dunia semalam adalah mereka yang duduk di bahagian kiri.”
Demikian perkongsian salah seorang mangsa nahas bas yang membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Perak, Abdul Wafiy Kamarudin, yang terselamat dalam kejadian tersebut.
Bercakap kepada Bernama TV, Abdul Wafiy, 23, memaklumkan bahawa ketika kejadian, dia berada di sebelah kanan bahagian belakang kenderaan.
“Kebanyakan yang duduk di sebelah kanan memang tercampak keluar dan masuk ke dalam longkang.
“Manakala yang berada di sebelah kiri memang tersepit dan majoriti yang meninggal dunia adalah mereka yang duduk di bahagian kiri,” katanya.
Walaupun kebanyakan mangsa yang berada di sebelah kanan terselamat, tetapi ada juga yang terkorban.
“Kesemua yang meninggal terdiri daripada 10 pelajar wanita dan lima lelaki. Di dalam bas ini ada lapan pelajar lelaki dan saya antara tiga yang terselamat,” jelasnya.
Menurutnya, beliau kembali ke lokasi kejadian pada Selasa bagi memeriksa dan mengambil barang-barang peribadinya, namun didapati ada yang hilang.
“Ada beberapa barang peribadi saya yang hilang seperti gajet-gajet saya yang ada dalam beg.
“Yang paling penting sekali, kad pengenalan serta kad bank saya. Itu yang hilang dan memang saya tak jumpa,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

