Nahas pelajar UPSI: Doktor kongsi pengalaman urus mangsa

SHAH ALAM – Seorang doktor Gerik Medical Centre, Dr Muhammad Adam Muskhan berkongsi pengalaman mengurus mangsa nahas bas yang membabitkan pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Perak pada Isnin.
Menurutnya, pada hari kejadian, petugas barisan hadapan bersedia menggalas amanah besar seawal jam 3 pagi.
Ujar Muhammad Adam, beliau berasa bangga dan bersyukur atas semangat luar biasa yang ditunjukkan oleh staf hospital dan agensi yang terlibat.
“Seawal jam 3 pagi, sudah terpacak bersedia menerima arahan dan kes, berjuang melawan nikmatnya tidur walaupun bukan dalam waktu kerja. Inilah wira-wira yang tak didendang.
“Sering disalah erti, namun apabila tiba saatnya, kitalah yang berdiri di barisan hadapan, menyumbang bakti tanpa banyak bicara. Terima kasih kepada semua staf Hospital Gerik yang terlibat,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Isnin.

Tragedi tragis negara itu berlaku ketika para penuntut dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti bersama keluarga sempena Aidiladha.
Kemalangan yang membabitkan sebuah bas membawa pelajar UPSI itu telah menyebabkan 15 nyawa terkorban, manakala selebihnya mengalami kecederaan dan sedang menjalani rawatan di hospital.
Kata Muhammad Adam, walaupun kejadian itu pahit dan tragis, namun ia turut menyaksikan keikhlasan serta kerjasama penuh semangat daripada semua pihak.
“Andalah hero saya. Tanpa kalian, perjalanan pagi tadi (Isnin) pastinya terasa jauh lebih panjang dan sukar. Hari ini kita buktikan, bila kita bersama, kita boleh atasi cabaran,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Muhammad Adam turut menzahirkan penghargaan kepada semua agensi termasuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak lain yang turut serta berganding bahu menghadapi tragedi tersebut.
“Anda semua memang terbaik. Takziah kepada semua mangsa dan keluarga yang terkesan. Semoga diberi kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini,” katanya.
Sementara itu, Hospital Gerik turut merakamkan ucapan takziah buat semua keluarga mangsa tragedi berkenaan.
Katanya menerusi Facebook, sebaik sahaja menerima berita tersebut, Pasukan Perubatan Hospital Gerik segera bersiap sedia.
“Sesi taklimat awal telah dikendalikan Dr Muhammad Adam sebelum pasukan bertugas melaksanakan tanggungjawab mereka dengan penuh dedikasi.
“Terima kasih kepada semua petugas kesihatan Hospital Gerik atas semangat dan komitmen tinggi dalam mengendalikan situasi ini. Anda memang terbaik!
“Setinggi-tinggi penghargaan juga diucapkan kepada semua agensi yang turut serta membantu dalam operasi menyelamat. Jasa dan pengorbanan anda amat dihargai,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!