[VIDEO] Dua kali laungkan azan sebelum ribut reda
Demikian kata pengawal keselamatan, Tan@Mohd Hafiz Mat Kesah, 50, di Kampung Paya Pulai di Temerloh selepas rumahnya antara 75 yang terjejas akibat ribut di beberapa kawasan di Temerloh pada Isnin, lapor wartawan Sinar Harian, Rosilawati Rosedi
Artikel: https://www.sinarharian.com.my/article/733048/edisi/pahang/dua-kali-laungkan-azan-sebelum-ribut-reda
Muzik: Foe Pound dari www.bensound.com
#SinarHarian #BeritaSemasa #KarnivalSiangMalam #ribut" />
TEMERLOH - "Dua kali saya laungkan azan sebelum ribut reda."
Demikian kata pengawal keselamatan, Tan@Mohd Hafiz Mat Kesah, 50, di Kampung Paya Pulai di sini selepas rumahnya antara 75 yang terjejas akibat ribut di beberapa kawasan di Temerloh pada Isnin.
Bapa kepada tiga anak itu memberitahu, kejadian kira-kira jam 5.40 petang tersebut berlaku dalam sekelip mata dan kali pertama berlaku sepanjang 17 tahun dia tinggal di kampung tersebut.
"Hujan tidak terlalu lebat tapi angin memang kuat sekitar enam minit dan ketika itu, saya dengan isteri dan tiga anak baru selesai minum petang di ruang tamu.
"Tiba-tiba bumbung dapur diterbangkan angin dan saya berdiri atas tangga melaungkan azan sebelum keadaan reda," katanya sebak ketika ditemui di rumahnya pada Selasa.
Ujarnya, kejadian itu menyebabkan semua bumbung rumah diterbangkan angin dan peralatan elektrik serta perabot basah.

"Semua bumbung rumah diterbangkan angin dan setakat ini saya masih belum dapat anggarkan jumlah kerugian.
"Buat sementara waktu, isteri dan anak-anak duduk di rumah mentua dan saya menumpang di maahad tahfiz berhampiran," katanya.
Selain bumbung, beberapa pokok turut tumbang berhampiran rumah selain batang kayu garaj menghempap keretanya.
Sementara itu seorang peniaga, Kamarulzaman Din, 64, turut berkongsi detik cemas kejadian ribut itu bersama isteri dan tiga anaknya.
“Saya tengah goreng pisang dengan anak, tiba-tiba angin kuat. Barang atas dapur terbang, bumbung pun tercabut. Saya naik ke atas, berdiri dekat depan gerai, azan dua kali... barulah angin mula reda,” tambahnya yang menganggarkan kerugian dialami kira-kira RM4,000.

Dalam pada itu, seorang kerani, Aisyuha Abi Sufian, 35, di Taman Sri Kerinau mengakui terkejut selepas melihat rumah yang didiami ibunya, Noraini Mohamad, 68 bersama adik, Mohd Fazli, 24 yang juga orang kurang upaya (OKU) turut terjejas akibat ribut.
“Saya sampai jam 6.40 petang selepas dapat tahu rumah antara yang terjejas kena ribut.
"Terkejut tengok bumbung hampir 70 peratus terbang. Bilik dan ruang depan semua basah. Mak kata air menitik atas kepala masa duduk dalam bilik,” katanya.
Sementara itu, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Temerloh memaklumkan kejadian itu menjejaskan rumah penduduk di Taman Sri Kerinau, Kampung Pulau Terap, Taman Pamah Kasih, Taman Pulai Bistari dan Kampung Batu 4 1/2 Jalan Maran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!