Isu air UMS: Dapatkan penjelasan JANS sebelum saman – Mustapha

Mustapha (dua dari kiri) ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang pada majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2024 Parlimen Sepanggar di Rafflesia Politeknik Kota Kinabalu.
Mustapha (dua dari kiri) ketika menyampaikan sijil penghargaan kepada pelajar cemerlang pada majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2024 Parlimen Sepanggar di Rafflesia Politeknik Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU – Suara mahasiswa yang didakwa menggesa Universiti Malaysia Sabah (UMS) memfailkan saman terhadap Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dinasihatkan supaya mendapatkan taklimat terperinci terlebih dahulu daripada jabatan berkenaan sebelum meneruskan tindakan tersebut.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, walaupun tindakan saman itu merupakan hak mereka, ia tetap perlu melalui proses perundangan yang sewajarnya.

“Ya, itu hak mereka, tetapi mereka perlu melalui proses-proses perundangan yang ditetapkan. Cuma saya nasihatkan, sebelum memulakan saman ini, dapatkan dahulu taklimat secara terperinci daripada JANS agar mereka memahami keseluruhan sistem air yang terlibat.

“Sebab isu ini bukan disengajakan. Ada beberapa perkara dari segi teknikal yang perlu difahami dan diambil kira,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang Madani Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 Parlimen Sepanggar di Dewan Rafflesia, Politeknik Kota Kinabalu, di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai gesaan segelintir pihak yang mahu mengambil tindakan undang-undang susulan masalah bekalan air yang melanda kampus UMS.

Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar menjelaskan, Loji Rawatan Air (LRA) Telibong Dua sebenarnya telah siap, namun berdepan kelewatan akibat kerja pemasangan paip yang belum selesai.

“Masalah sekarang ialah jajaran Pan Borneo itu belum siap, jadi paip baharu yang ingin dipasang tidak dapat disiapkan dalam masa yang ditetapkan.

“Usaha sudah pun dilaksanakan, tetapi kelewatan berlaku disebabkan halangan teknikal. Jika masih ada mahasiswa yang tidak berpuas hati dengan penerangan yang diberikan, mereka boleh mempertimbangkan untuk memfailkan saman.

“Tetapi, seperti biasa, mereka perlu melalui proses perundangan, dan perlu bersedia menghadapi segala cabaran dan dugaan dalam proses mahkamah ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!