Nahas pelajar UPSI: GPMS gesa SOP lebih ketat babitkan perjalanan rasmi IPT

GPMS turut mencadangkan beberapa perkara termasuk saringan ketat terhadap syarikat bas sewaan, audit menyeluruh ke atas pemandu termasuk kesihatan, lesen dan rekod jenayah atau lalu lintas. (Gambar kecil: Muhammad Danial Alimin)
GPMS turut mencadangkan beberapa perkara termasuk saringan ketat terhadap syarikat bas sewaan, audit menyeluruh ke atas pemandu termasuk kesihatan, lesen dan rekod jenayah atau lalu lintas. (Gambar kecil: Muhammad Danial Alimin)
A
A
A

GEORGE TOWN - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menuntut kerajaan melaksanakan reformasi menyeluruh terhadap aspek keselamatan pengangkutan melibatkan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

Ia susulan tragedi kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat Gerik, awal pagi Isnin yang mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Naib presiden siswanya, Muhammad Danial Alimin berkata, tragedi itu wajar menjadi titik tolak kepada pembentukan prosedur operasi standard (SOP) kebangsaan yang lebih ketat membabitkan perjalanan rasmi institusi pendidikan.

“Nyawa pelajar bukan sekadar statistik. Kejadian ini bukan sahaja menggoncang dunia pendidikan tinggi negara, malah mencabar keutamaan kita terhadap keselamatan pelajar sebagai pewaris masa depan negara.

“GPMS merakamkan takziah kepada keluarga mangsa dan mendoakan agar semua yang cedera diberi kesembuhan segera. Namun, apa yang lebih penting adalah pembaharuan dasar keselamatan pengangkutan pelajar perlu dilakukan segera agar tragedi seumpama ini tidak berulang,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, beliau berkata, GPMS turut mencadangkan beberapa perkara termasuk saringan ketat terhadap syarikat bas sewaan, audit menyeluruh ke atas pemandu termasuk kesihatan, lesen dan rekod jenayah atau lalu lintas.

"Kerajaan juga perlu mewajibkan penggunaan sistem GPS dan kamera papan pemuka dalam semua bas rasmi.

"Penubuhan Dana Tabung Kecemasan Pelajar Nasional juga penting bagi membantu keluarga mangsa tragedi dan menyokong keperluan pasca trauma termasuk rawatan psikologi, pemulihan dan jaminan perlindungan insurans pelajar dalam setiap aktiviti rasmi," tambah beliau.

Selain itu katanya, agensi penyelamat disaran memperkukuh sistem tindak balas bencana di kawasan luar bandar dan laluan berisiko tinggi menerusi pembinaan pusat kecemasan bergerak.

Artikel Berkaitan:

"GPMS juga menggesa semua IPT agar lebih tegas dalam menilai risiko sesuatu perjalanan dan tidak hanya menyerahkan keputusan kepada pihak penganjur atau pelajar.

“Pelajar dan masyarakat diminta agar terus peka terhadap aspek keselamatan ketika menjalankan aktiviti luar kampus,” katanya.

Menurut Muhammad Danial, tragedi itu harus menjadi peringatan bahawa keselamatan pelajar perlu dijadikan keutamaan nombor satu dalam perancangan pendidikan dan pembangunan insan negara.

“GPMS komited menjadi suara mahasiswa dan pelajar Melayu serta terus mendesak pihak berkepentingan agar sistem keselamatan sedia ada ditambah baik,” katanya.

Sebelum ini, sebuah bas persiaran membawa 42 pelajar UPSI dilaporkan terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, seramai 15 pelajar disahkan maut, manakala selebihnya mengalami kecederaan pelbagai tahap dan sedang dirawat di Hospital Gerik serta Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh.

Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menjelaskan, bas persiaran berkenaan telah disewa secara persendirian oleh pelajar sempena cuti Hari Raya Aidiladha.

Kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti di kampung halaman sekitar Jertih dan Hulu Terengganu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!