Exco Selangor Jamaliah Jamaluddin sah bergelar isteri

SHAH ALAM – Exco Kesihatan Awam dan Alam Sekitar Selangor, Jamaliah Jamaluddin sah bergelar isteri dalam satu majlis pernikahan yang berlangsung secara tertutup pada Ahad.
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ahli Dewan Negeri (ADUN) Bandar Utama itu yang memilih menyatukan cinta bersama jejaka pilihannya, Joshua, dalam suasana tertutup yang dihadiri keluarga terdekat dan beberapa sahabat rapat yang mengenali pasangan ini sejak zaman persekolahan.
Menurut Jamaliah, keputusan mengadakan majlis secara kecil-kecilan dibuat demi menghormati permintaan keluarga kedua-dua belah pihak yang mahukan satu majlis yang lebih memfokuskan kepada hikmah dan keberkatan pernikahan itu sendiri.
"Alhamdulillah dengan izin-Nya, saya dan pasangan telah selamat melangsungkan pernikahan semalam.
"Saya mohon maaf sekiranya ada pihak terasa hati. Percayalah, ini keputusan yang dibuat dengan teliti dan penuh hormat kepada semua yang menyokong kami selama ini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Isnin.
Jelas beliau, majlis itu turut disaksikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, dan beberapa tokoh politik terkenal termasuk Ahli Parlimen Puchong, Yeo Bee Yin yang pernah menjadi 'bosnya' dan juga pernah membimbing suaminya ketika menjalani latihan industri.
Jamaliah turut memberi bayangan bahawa ada peluang lain untuk meraikan kegembiraan itu secara lebih terbuka dan meriah bersama sahabat serta kenalan pada masa akan datang.
"Buat masa ini, saya mohon doa semua agar Allah SWT memberkati perkahwinan ini dengan sakinah, mawaddah dan rahmah.
"Mohon doa semua agar kami dapat melayari bahtera rumah tangga ini dengan baik, berkekalan dan sentiasa diredai-Nya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

