[VIDEO] Jemaah haji Malaysia ke-10 meninggal dunia di Tanah Suci
MAKKAH – Satu lagi kematian dicatatkan, menjadikan jumlah jemaah haji Malaysia yang meninggal dunia di Tanah Suci meningkat kepada 10 orang setakat ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, jemaah haji berkenaan, Abd Malek Sudin, 62, menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.31 petang di Hospital King Abdullah, Makkah akibat serangan jantung.
Menurutnya, Allahyarham dari Bedong, Kedah merupakan jemaah daripada penerbangan KT068 dan menginap di Maktab 90A, Bangunan Rehab Al Janadiriyah.

“Lembaga Tabung Haji (TH) telah memaklumkan perkara tersebut kepada isteri Allahyarham, Salina Mat Salim yang turut berada di Tanah Suci.
“Saya, bagi pihak kerajaan dan Tabung Haji, mengucapkan takziah kepada waris dan keluarga Allahyarham. Marilah sama-sama kita doakan semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat,” katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, beliau berkata, segala urusan berkaitan jenazah termasuk pengkebumian akan diuruskan sepenuhnya oleh Tabung Haji.
Difahamkan, Allahyarham sempat melaksanakan ibadah wukuf di Arafah sebelum ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

