Mahsuri sumbang dua lembu 'sado' sempena Aidiladha

KUALA LUMPUR – Syarikat Mahsuri Dagang Sdn Bhd (Mahsuri Dagang) menyumbangkan dua ekor lembu 'sado' atau sasa, masing-masing seberat satu tan untuk disembelih bagi menunaikan ibadah korban sempena sambutan Hari Raya Aidiladha pada tahun ini.
Pengarah Hal Ehwal Luar syarikat itu, Mohd Jazri Ikmal Hijaz berkata, program korban seumpama itu merupakan aktiviti tahunan Mahsuri Dagang yang telah memasuki tahun kelima penganjuran untuk menunaikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada komuniti setempat.
"Acara menarik tahun ini adalah penyertaan buat kali pertama lembu 'sado' dari Mahsuri Dagang dalam ibadah korban di masjid berkenaan.
"Selepas lembu dilapah, anggaran dapat adalah kira-kira 500 kilogram (kg) untuk seekor lembu dengan sasaran kita untuk dapatkan 1,000 pek satu kg.
"Jadi, setiap penerima menerima satu kg daging korban hasil sembelihan lembu tersebut dan salah satu produk keluaran Mahsuri Dagang seperti sos tiram," katanya.
Beliau berkata sedemikian ketika ditemui pada Majlis Korban Asnaf Mahsuri di Masjid Ar-Rahimah, Kampung Pandan di sini pada Sabtu.
Hadir sama, Pengarah Bukan Eksekutif Mahsuri Dagang Sdn Bhd, Datuk Ahmad Tajuddin Idris dan Ketua Hubungan Kerajaan Pembangunan Komuniti Mahsuri Dagang, Lailah Mohd Darus.
Turut serta, Pengarah Urusan Aspire Production Sdn Bhd, Sharir Amir Mohd Som dan Pengerusi Masjid Ar-Rahimah Kampung Pandan, Mohd Shah Hasim.

Menurut Mohd Jazri, agihan dilaksanakan dengan kerjasama pelbagai pihak serta bantuan penyenaraian penerima sasaran menerusi maklumat diperoleh daripada sistem data kerajaan.
"Insya-ALLAH, jika ada rezeki lagi maka tahun depan kami akan teruskan program terbabit memandangkan ia merupakan salah satu daripada aktiviti CSR syarikat," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak terlibat termasuklah Mahsuri yang menyumbangkan sebahagian lembu serta produk makanan.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, syarikat terbabit memberi dua lembu 'sado' dan 2,000 botol sos untuk penduduk setempat.
"Sebahagian daripada yang kita buat itu, Mahsuri Dagang tambah lagi dua ekor dan syarikat itu beri dengan kicap mereka, sebanyak empat jenis kicap," katanya.
Dalam pada itu, Johari turut menyumbang sebanyak 81 ekor lembu korban kepada masjid, surau dan persatuan penduduk sekitar kawasan parlimen terbabit.
Menurutnya, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada usaha beliau membantu komuniti setempat ketika musim perayaan Aidiladha.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

