Tujuh suspek bakal didakwa kes bunuh rakan, timbus mayat dalam kolah

SUNGAI PETANI - [DIKEMAS KINI] Pendakwaan terhadap tujuh individu etnik Rohingya termasuk seorang wanita kerana membunuh rakan sekerja mereka terpaksa ditangguhkan berikutan ketiadaan jurubahasa Myanmar di Mahkamah Majistret di sini pada Selasa.
Majistret Nur Fazlina Musa kemudian menetapkan 26 Februari depan sebagai tarikh baharu lantikan jurubahasa dan pertuduhan kes.
Semua tertuduh ditahan selepas terbabit dalam kes pembunuhan seorang lelaki Rohingya yang disyaki dipukul hingga mati sebelum mayatnya dibalut menggunakan kain dan ditimbus dalam kolah.
Kehadiran semua tertuduh dikawal ketat anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengiringi mereka ketika memasuki pekarangan mahkamah bagi tujuan pendakwaan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, dalam kejadian 10.30 malam pada 28 Januari lalu, mangsa dipercayai dipukul sebelum mayatnya ditimbus selepas dituduh mencuri barang kemas dan wang tunai lebih RM40,000.
Menurutnya, mangsa berusia lewat 20-an dipercayai bekerja sebagai tukang rumah menetap di sebuah kawasan perumahan di Jalan Kampung Sungai Baru sejak empat bulan lalu.

"Polis menerima panggilan daripada seorang wanita memaklumkan suaminya ditemukan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya.
Beliau berkata, punca kejadian disebabkan majikan mangsa menuduhnya mencuri wang tunai RM40,150, seutas rantai emas dan subang hidung pada 4 Januari lalu di rumah berkenaan.
Katanya, suspek kemudian bertindak menahan mangsa, isteri dan bapanya.
Mangsa kemudian dipukul supaya menyerahkan semula wang tunai didakwa dicuri sehingga maut.
Wan Azharuddin berkata, mayat mangsa ditutup cadar dan disumbat ke dalam kolah bilik air sebelum ditimbus dengan tanah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

