'Dulu pegang senjata, sekarang pisau korban'

KLANG - Jika dahulu menggalas senjata demi mempertahankan negara, kini medan perjuangannya beralih ke tapak ibadah korban setiap kali sambutan Aidiladha.
Leftenan Kolonel (B) Roslan Othman, 64, tidak pernah melepaskan peluang turut serta dalam urusan melapah dan agihan daging korban sejak bersara dari tentera kira-kira sembilan tahun lalu.
Menurutnya, penyertaannya dalam program korban anjuran Persatuan Penduduk Taman Bukit Jati sudah menjadi rutin tahunan yang dinanti.
"Ibadah korban antara aktiviti utama yang saya sertai setiap tahun," katanya ketika ditemui semasa Program Ibadah Korban di Taman Bukit Jati di sini pada Ahad.

Roslan memberitahu, pada mulanya, beliau hanya membantu dari segi pengurusan ringan kerana kurang pengalaman dalam aspek teknikal seperti melapah dan memotong.
"Tahun pertama memang kekok terutama hendak melapah dan potong daging, tapi lama-kelamaan sudah biasa," ujarnya.
Berbekalkan pengalaman dan kesungguhan, bapa dua anak itu kini menjadi tulang belakang dalam memastikan proses melapah dan pengagihan daging korban berjalan lancar.
Jelasnya, antara perkara paling dititikberatkan adalah soal keadilan dalam pengagihan daging korban kepada setiap isi rumah di taman berkenaan.
"Kita pastikan setiap rumah dapat sekurang-kurangnya satu kilogram daging, tapi kadang-kadang ada isu haiwan korban yang sampai terlalu banyak lemak," katanya.
Selain cekap melapah, Roslan juga dikenali dalam komuniti sebagai individu yang tidak kekok mengurus bahagian dalaman haiwan seperti perut, kepala dan otak lembu.
"Perut kalau dibersihkan boleh buat kerabu dan rasanya memang sedap, manakala kepala pula ramai tak tahu dalamnya ada lebih dua kilogram daging kalau disiang dengan betul,” katanya.
Berbeza dengan sesetengah individu yang mungkin merasa mual atau pitam melihat darah, Roslan memberitahu, beliau tidak berdepan masalah itu hasil latihan dan pengalaman semasa bertugas dalam tentera.
"Darah bersembur masa sembelih pun tak jadi masalah kerana dalam tentera dulu kami memang dilatih tengok darah, cuma kalau tak biasa boleh pengsan," jelasnya.
Menurut Roslan, segala pengalaman itu menjadikan beliau lebih bersedia dan yakin untuk memainkan peranan penting setiap kali ibadah korban dijalankan.
"Biarpun tugasan korban memenatkan, namun segala keletihan akan terubat apabila melihat komuniti menerima agihan daging dengan wajah gembira.
"Memang letih, tapi bila selesai semua rasa seronok kerana paling penting kita buat kerja kerana ALLAH.
"Rasa puas hati tengok orang dapat bahagian masing-masing dan semuanya ikhlas demi ukhuwah dan ibadah," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

