Sambut ulang tahun ke-29, Ungu pilih Malaysia

KUALA LUMPUR telah dipilih sebagai lokasi konsert orkestra penuh pertama Ungu, sempena ulang tahun ke-29 penubuhan kumpulan rock terkenal dari Indonesia itu.
Konsert anjuran AVG Entertainment bertemakan '29th Anniversary – Symphony of Ungu' bakal berlangsung pada 12 Julai depan di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Apa yang menjadikan konsert ini cukup istimewa adalah konsepnya yang menggabungkan muzik pop rock dengan susunan orkestra secara langsung, satu gabungan eksklusif yang belum pernah dipersembahkan Ungu sejak ditubuhkan pada tahun 1996.
Vokalisnya, Pasha, meluahkan rasa terharu dengan sambutan luar biasa daripada peminat di Malaysia yang dianggap seperti rumah kedua buat mereka.
Katanya, setiap kali mereka membuat persembahan di sini, suasana yang dirasai begitu istimewa, seolah-olah seperti pulang ke kampung halaman.

“Setiap kali kami tampil di Malaysia, suasana terasa sangat istimewa. Macam balik kampung. Peminat di sini selalu beri tenaga luar biasa yang buat kami ingin kembali lagi dan lagi,” ujarnya kepada media Indonesia sebelum pengumuman rasmi konsert berkenaan.
Konsert kali ini turut disifatkan sebagai detik penting dalam perjalanan seni Ungu. Bukan sahaja membabitkan elemen muzik baharu, malah keseluruhan konsep pentas, susunan lagu, pencahayaan dan persembahan akan dipersembahkan dalam bentuk yang berbeza, lebih megah dan menyentuh emosi.
Makki selaku pemain bass berkata, mereka mahu membawa penonton menyusuri evolusi muzik Ungu dalam suasana yang lebih mendalam dan menyentuh jiwa.
Sementara itu, Enda menjelaskan mereka sedang melalui proses pemilihan lagu yang ketat bagi memastikan setiap lagu yang dipersembahkan benar-benar memberi impak dalam susunan muzik orkestra.
“Kami mahu setiap lagu yang dipersembahkan nanti sesuai dengan konsep orkestra. Ini bukan hanya tentang nyanyian, tapi bagaimana muzik itu dapat dirasa dari dalam hati,” jelasnya.
Bagi Pasha pula, rahsia kekuatan Ungu yang masih kekal relevan selepas hampir tiga dekad bukan hanya terletak pada bakat dan lagu, tetapi juga hubungan erat sesama anggota.
Katanya, mereka sentiasa mengamalkan komunikasi terbuka dan saling menghormati setiap pendapat dalam kumpulan.
“Kami berbincang bila ada isu. Kami tidak biarkan masalah membusuk. Setiap orang ada pendapat, dan kami hormat satu sama lain. Itulah sebab kami masih bersama selepas hampir tiga dekad,” katanya lagi.
Tiket bagi menyaksikan konsert ini sudah mula dijual menerusi laman web www.ticket2u.com.my dengan harga bermula daripada RM288 hingga RM1,588 bergantung kepada kategori tempat duduk.
Dengan gabungan susunan muzik orkestra yang menyentuh emosi dan keintiman lirik yang sudah sinonim dengan Ungu, persembahan ini dijangka menjadi antara konsert paling epik dalam sejarah kumpulan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

