Plak Kapsul Masa Wawasan 2020 disimpan, bukan dibuang - Pengurusan baharu Menara KL

SHAH ALAM – Plak Kapsul Masa Wawasan 2020 di Menara Kuala Lumpur tidak dimusnahkan atau dibuang seperti yang didakwa, sebaliknya disimpan dengan baik oleh pengurusan baharu, LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM).
Ketua Pegawai Eksekutif LSHSM, Khairil Faizal Othman berkata, tindakan berkenaan diambil berdasarkan pertimbangan keselamatan, pematuhan korporat dan semangat memelihara warisan Menara Kuala Lumpur.
Menurutnya, pihak pengurusan baharu Menara Kuala Lumpur ingin memberikan penjelasan bagi memperbetulkan persepsi dan mengelakkan kekeliruan orang awam terutamanya dari aspek keselamatan pengunjung.
“Plak berkenaan sebenarnya berfungsi sebagai penutup kepada ruang khas penyimpanan kapsul masa. Selepas kapsul masa dibuka, ruang plak tersebut telah dibiarkan begitu sahaja tanpa sebarang kandungan.
“Struktur plak tersebut tidak lagi dapat ditutup rapat seperti asal dan boleh mengakibatkan risiko kecederaan kepada pengunjung yang melalui kawasan itu.
“Maka, ia dialih atas faktor keselamatan, sejajar dengan keutamaan pihak pengurusan terhadap kesejahteraan semua pengunjung,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Khairil Faizal berkata, mengenai status kapsul masa pula, kapsul itu telah dibuka secara rasmi pada 13 April 2025 dan kandungannya telah didedahkan kepada umum oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
“Oleh itu, tiada lagi elemen atau artifak sejarah yang disimpan di lokasi tersebut.
“Justeru, ia tidak lagi berfungsi sebagai tapak kapsul masa dan plak tersebut tidak dimusnahkan atau dibuang seperti yang didakwa, sebaliknya telah disimpan dengan baik oleh LSHSM,” katanya.
Ujar Khairil Faizal, plak berkenaan juga mengandungi logo korporat pengurusan lama yang tidak lagi dibenarkan untuk dipamerkan secara rasmi, selaras dengan penjenamaan semula syarikat pengurusan Menara Kuala Lumpur.
“Oleh itu, penyimpanan semula plak adalah sebahagian daripada usaha mematuhi garis panduan identiti korporat yang baharu.
“Pihak kami ingin menegaskan bahawa tiada sebarang niat untuk memadam atau mengubah sejarah negara.
“Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, layari laman sesawang kami di www.kltower.com atau hubungi talian Khidmat Pelanggan di 03-2630 3099,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
