Rumah Ngaji perluas kempen Quran Hour ke pinggir bandar

KOTA BHARU – Persatuan Rumah Ngaji Negeri Kelantan (PRNNK) memperluas penyertaan masyarakat terhadap program Quran Hour dengan memberi tumpuan kepada kawasan pinggir bandar dalam usaha menarik lebih ramai ahli serta peserta baharu.
Pengerusi PRNNK, Datuk Adnan Hashim berkata, sebelum ini tumpuan utama hanya diberikan kepada kawasan bandar serta peserta sedia ada dalam kalangan ahli Rumah Ngaji seluruh Kelantan.
Menurut beliau, tahun ini kempen diperluaskan ke tiga lokasi lain selain Masjid An Nuur, Mukim Bukit Marak, iaitu Pasir Tumbuh, Pasir Pekan dan Pasir Mas sempena program Arafah Quran Hour Kelantan dan Forum Khas #SavingTheUmmah.

“Jika sebelum ini kita membawa peserta daripada ahli-ahli Rumah Ngaji seluruh Kelantan, tahun ini kita turun ke kawasan pinggir bandar untuk cari lokasi baharu.
“Usaha ini bagi meramaikan lagi penyertaan dalam kempen membaca dan mengamalkan al-Quran,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Masjid An Nuur, Mukim Bukit Marak, di sini pada Jumaat.
Ujar Adnan, seramai 300 peserta pelbagai peringkat umur hadir secara fizikal dalam program kali ini, manakala sebahagian lagi mengikuti secara dalam talian.
Tambah beliau, keseluruhan 186 Rumah Ngaji turut menyertai kempen ini secara maya.
Menurutnya, tahun ini mereka bergerak di bawah kempen ‘Selamatkan Ummah’ yang berpandukan Surah Al-Hajj dan Surah As-Saff.
“Kami juga menggalakkan semua yang hadir agar menyampaikan dakwah kepada orang lain, sekali gus menjadi agen penyebar kebaikan al-Quran di peringkat komuniti masing-masing.
“Harapan kita agar strategi ini dapat dikembangkan ke seluruh negeri, di mana setiap Rumah Ngaji di daerah digiatkan lagi aktivitinya atas dasar perjuangan untuk membawa masyarakat ke syurga Allah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

