Lelaki maut motosikal terbabas langgar treler

Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler di Jalan Gudang, Johor Port Berhad, malam tadi. Foto hiasan
Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler di Jalan Gudang, Johor Port Berhad, malam tadi. Foto hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas sebelum melanggar bahagian belakang sebuah treler di Jalan Gudang, Johor Port Berhad, malam tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak, kemalangan dipercayai berlaku kira-kira jam 8.30 malam ketika mangsa, seorang warga tempatan berusia 41 tahun, dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Siasatan mendapati, ketika kejadian, mangsa sedang menunggang motosikal jenis Yamaha Y16ZR dari arah Kafe Johor Port menuju ke tempat kerjanya di Sapura Offshore.

“Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan melanggar bahagian belakang treler yang diletakkan di hadapan sebuah gudang dalam kawasan Johor Port.

“Akibat perlanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian diminta menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan dengan menghubungi talian 07-3864222.

Polis turut menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati ketika berada di jalan raya dan mematuhi segala peraturan serta kod lalu lintas yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!