Kayu dah Reput, kabel tergantung – Jambatan Sekayu bahaya buat pengunjung

Keadaan jambatan gantung di Air Terjun Sekayu yang sudah reput ketika tinjauan Sinar Harian di lokasi itu, baru-baru ini. Gambar kecil dari kiri: Muhamad Zamri, Mohd Yasin
Keadaan jambatan gantung di Air Terjun Sekayu yang sudah reput ketika tinjauan Sinar Harian di lokasi itu, baru-baru ini. Gambar kecil dari kiri: Muhamad Zamri, Mohd Yasin
A
A
A

HULU TERENGGANU – Pengunjung yang berkelah di Air Terjun Sekayu di sini melahirkan kebimbangan terhadap keadaan jambatan gantung lama di kawasan pelancongan itu yang didakwa hampir roboh dan membahayakan keselamatan orang ramai, terutama pada musim cuti persekolahan.

Seorang pengunjung, Muhamad Zamri Md. Ali, 51, berkata struktur jambatan tersebut kelihatan uzur dan boleh mengundang risiko kepada pengunjung yang berada di bawahnya.

“Saya balik bercuti dari Shah Alam ke kampung di Terengganu. Kebetulan datang sini dan nampak memang ramai orang ambil peluang berkelah di sini.

“Malangnya jambatan kayu ini nampak sangat uzur dan berbahaya kepada pengunjung. Kabel pada jambatan itu terjulur ke bawah dan kita bimbang kalau ia jatuh dan terkena kepala pengunjung di sini.

“Kalau angin kuat, saya rasa kayu reput itu boleh jatuh atas orang. Demi keselamatan, saya rasa lebih baik jambatan ini dirobohkan saja,” katanya kepada pemberita baru-baru ini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati struktur jambatan gantung Air Terjun Sekayu yang sudah uzur dan berisiko roboh pada bila-bila masa.
Tinjauan Sinar Harian mendapati struktur jambatan gantung Air Terjun Sekayu yang sudah uzur dan berisiko roboh pada bila-bila masa.

Tambahnya, kawasan Air Terjun Sekayu masih mempunyai potensi besar sebagai tarikan pelancongan, namun infrastruktur yang tidak terjaga menjejaskan imej lokasi tersebut.

“Tempat ini sebenarnya cantik dan ada masa depan, tapi banyak kemudahan rosak tak dibaiki. Chalet pun macam dibiarkan dan seperti sudah tidak berfungsi,” katanya lagi.

Sementara itu, seorang lagi pengunjung, Mohd Yasin Mat Rani, 49, dari Batu 6, Manir berkata, keadaan jambatan itu berbeza berbanding ketika kali terakhir dia datang ke kawasan tersebut sebelum pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Dulu jambatan ini masih kukuh, tapi sekarang kayunya pun sudah lapuk. Risau juga kalau jatuh dan terkena atas kepala orang.

“Kawasan ini juga sebelum ini cantik dan sesuai untuk berkelah. Sekarang nampak tidak terjaga, suram dan kurang menarik termasuk beberapa kemudahan lain yang turut rosak.

“Selain itu, banyak kera liar yang berkeliaran di sini dan situasi itu membahayakan pengunjung, terutama kanak-kanak,” ujarnya yang datang bersama keluarga selepas mengunjungi Tasik Kenyir.

Sehubungan itu, Mohd Yasin berharap pihak bertanggungjawab dapat segera membaiki infrastruktur di kawasan Air Terjun Sekayu bagi memastikan keselamatan pengunjung.

“Kawasan ini sepatutnya diselenggara kerana masih ramai yang berkunjung ke sini.

“Pada saya, usaha membaik pulih kawasan ini perlu dilaksanakan bagi memelihara salah satu daripada kawasan tarikan pelancongan semula jadi negeri Terengganu,” katanya.

Air Terjun Sekayu yang terletak dalam kawasan Hutan Lipur Sekayu merupakan destinasi pelancongan semula jadi terkenal di Terengganu.

Kawasan yang kaya dengan pelbagai spesies tumbuhan, termasuk pokok-pokok yang mempunyai khasiat perubatan tinggi itu mula dibuka secara rasmi kepada pengunjung pada tahun 1985.

Keunikan utama kawasan ini ialah air terjun tiga peringkat yang cantik dan mempesonakan, sekali gus menjadikannya tarikan utama bagi pengunjung dari dalam dan luar negeri.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!