Pelarian Syria teruja kembali ke tanah air rai Aidiladha

Pusat pemeriksaan Onjupinar di wilayah Kilis bersempadan Damsyik sesak dengan kumpulan pelarian Syria yang mahu kembali ke kampung halaman masing-masing.
Pusat pemeriksaan Onjupinar di wilayah Kilis bersempadan Damsyik sesak dengan kumpulan pelarian Syria yang mahu kembali ke kampung halaman masing-masing.
A
A
A

DAMSYIK – Era baharu telah bermula buat pelarian Syria yang menetap selama beberapa tahun di Turkiye.

Selepas penggulingan dinasti al-Assad yang memerintah secara kuku besi selama 61 tahun, ratusan pelarian Syria mula kembali ke tanah air sempena sambutan Aidiladha yang disifatkan paling bermakna dan istimewa buat mereka.

Jumlah golongan itu di pusat pemeriksaan Oncupinar, di wilayah Kilis yang bersempadan dengan Damsyik, dilaporkan meningkat secara mendadak.

Dua kanak-kanak bersama keluarganya antara yang dalam perjalanan pulang ke Daraa di selatan Syria.
Dua kanak-kanak bersama keluarganya antara yang dalam perjalanan pulang ke Daraa di selatan Syria.

Kesesakan di lintasan sempadan tidak menjadi penghalang, malah mereka sanggup beratur panjang bagi proses dokumentasi demi pulang ke tanah air.

Ahmed Ismail, 25, yang melarikan diri daripada peperangan di Syria kira-kira tujuh tahun lalu, menzahirkan rasa gembira setelah situasi di Damsyik kini semakin pulih.

“Saya sentiasa merindui kampung halaman. Akhirnya saya dan yang lain dapat kembali semula. Saya teruja untuk meraikan Aidiladha bersama keluarga,” katanya yang turut berterima kasih kepada komuniti di Turkiye dan Presiden Recep Tayyip Erdogan atas perlindungan yang diberikan kepada pelarian Syria.

Ekrem Omer, 19, turut berkongsi kegembiraan kerana berpeluang menyambut Aidiladha bersama keluarga tercinta setelah berjauhan selama beberapa tahun.

Artikel Berkaitan:

“Tanggungjawab kami kini adalah untuk memastikan keamanan berkekalan di Damsyik,” ujarnya.

Usaha memulihkan keamanan di Syria melalui kepulangan beramai-ramai pelarian dari negara jiran merupakan perkembangan penting di rantau Asia Barat.

Ia bukan sahaja membantu proses pembinaan semula Damsyik, malah mewujudkan asas bagi orang ramai untuk kembali menjalani kehidupan secara aman dan damai.

500,000 selamat pulang

Pada 15 Mei lalu, Ketua Misi Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Syria, Gonzalo Vargas Llosa, memaklumkan bahawa kira-kira 500,000 pelarian Syria telah kembali ke tanah air.

Menurutnya, angka itu mewakili purata 100,000 orang pulang ke negara tersebut pada setiap bulan sejak Disember lalu.

“Sebahagian besar daripada mereka berasal dari Jordan, Lubnan, Turkiye, Iraq dan Mesir. Selain itu, hampir 600,000 pelarian dalam negara turut kembali ke kampung halaman masing-masing,” ujarnya.

Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pasar ternakan di Maarrat Misrin, utara Idlib untuk ibadah korban.
Orang ramai tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke pasar ternakan di Maarrat Misrin, utara Idlib untuk ibadah korban.

Data UNHCR menunjukkan kira-kira 7.4 juta masih menjadi pelarian dalaman (IDP), manakala terdapat lebih enam juta pelarian Syria di seluruh dunia.

Agensi di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu itu bagaimanapun menyuarakan kebimbangan terhadap nasib golongan tersebut memandangkan banyak struktur dan kemudahan perlu dibina semula.

Tambahnya, kebanyakan bangunan tidak boleh didiami dan sistem sanitasi masih perlu dibaik pulih.

Penduduk Syria berdepan cabaran baharu untuk membina semula tempat tinggal mereka yang musnah akibat perang saudara berlarutan selama lebih sedekad.
Penduduk Syria berdepan cabaran baharu untuk membina semula tempat tinggal mereka yang musnah akibat perang saudara berlarutan selama lebih sedekad.

“Sayu hati saya apabila melihat rumah saya yang musnah. Hidup kami masih sukar kerana banyak perlu dibaik pulih, namun tiada wang.

"Suami saya mahu mencari kerja bagi mendapatkan sumber pendapatan untuk membina semula rumah kami sedikit demi sedikit,” kata Ibtihal yang kembali ke Daraa, lokasi bermulanya revolusi rakyat ketika Arab Spring pada 2011. – Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!