Ribuan pelarian Syria pulang ke tanah air selepas kejatuhan Assad

Penduduk, Aref Shamtan (kanan) duduk di luar sebuah khemah di kampung al-Hawash di wilayah Hama, tengah barat Syria. Foto AFP
Penduduk, Aref Shamtan (kanan) duduk di luar sebuah khemah di kampung al-Hawash di wilayah Hama, tengah barat Syria. Foto AFP
A
A
A

IDLIB (Syria) - Selepas bertahun-tahun menanggung penderitaan dan kesusahan di kem pelarian, ribuan rakyat Syria mula pulang ke tanah air susulan keadaan yang semakin aman dan stabil di Syria selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Jutaan penduduk Syria sebelum ini melarikan diri ke negara jiran bagi mencari perlindungan daripada kemusnahan besar-besaran dan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di bawah pemerintahan Assad.

"Kami hidup dalam keadaan yang amat sukar di kem pelarian. Tetapi kini kami bersyukur kerana tanah kami telah dibebaskan,” kata Mohammad Rahmon yang pulang ke kampung halamannya di Kafar Sijnah, selatan wilayah Idlib, selepas enam tahun berada di luar negara.

"Kami tetap akan kembali ke tanah air walaupun ianya musnah."

Walaupun kampung itu musnah teruk akibat serangan rejim, Rahmon tetap berhasrat mendirikan khemah di atas runtuhan rumahnya sebagai tanda kecintaan terhadap negaranya.

Gambar udara ini menunjukkan tempat perlindungan yang didirikan di runtuhan al-Qah di wilayah Idlib, barat laut Syria. Foto AFP
Gambar udara ini menunjukkan tempat perlindungan yang didirikan di runtuhan al-Qah di wilayah Idlib, barat laut Syria. Foto AFP

Seorang lagi penduduk Kafar Sijnah, Al-Rezzaq Mohammed berkata, mereka mengalami penderitaan yang teruk di kem pelarian sejak melarikan diri dari Syria pada 2019.

"Kami menderita akibat cuaca yang ekstrem dan kekurangan infrastruktur asas.

"Sekarang kami kembali ke kampung walaupun ia musnah, kerana sukar mana pun kehidupan di kampung, ia lebih bermaruah daripada hidup sebagai pelarian,” tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Mohammed berkata, semua rumah di kampung itu musnah - sebahagiannya akibat serangan dan pengeboman, manakala yang lain pula rosak akibat rompakan dan kemusnahan disengajakan.

"Namun, nikmat dan kegembiraan dapat pulang ke tanah air mengatasi kesedihan akibat kemusnahan yang berlaku,” katanya lagi.

Assad, yang memimpin Syria hampir 25 tahun, melarikan diri ke Rusia pada Disember lepas sekali gus menamatkan pemerintahan Parti Baath yang berkuasa sejak 1963.

Ahmad al-Sharaa yang mengetuai pasukan antirejim dalam usaha menggulingkan Assad, telah diisytiharkan sebagai presiden bagi tempoh peralihan pada akhir Januari. - Bernama-Anadolu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!