Bomba bangun pelan kontingensi kenal pasti lokasi pembakaran terbuka

KOTA BHARU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersama Jabatan Perhutanan di seluruh negara membangunkan pelan kontingensi bagi mengenal pasti keupayaan pembekalan air di 572 lokasi kebakaran terbuka.
Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, beberapa lokasi dikenal pasti sukar menerima bekalan air, termasuk di kawasan tanah gambut dan beberapa kawasan hutan di Terengganu.
Menurut beliau, antara kaedah yang digunakan ialah membina pemisah api menggunakan jengkaut dengan kerjasama pejabat daerah di negeri yang terlibat.
“Sebenarnya kita bimbang jika berlaku kebakaran di tapak pelupusan sampah, sama ada di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) atau lokasi haram,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Bicara Governans Integriti dan Anti Rasuah (BiGIAR) 2025 pada Khamis.
Nor Hisham memaklumkan bahawa kebakaran terbuka selalunya mengambil masa yang lama untuk dipadamkan.
“Kawasan jenis ini juga mudah merebak, terutama dalam hutan gambut,” katanya.
Jelas beliau lagi, pihaknya turut mengenal pasti 132 lokasi kebakaran terbuka di seluruh negara, dan ada yang berlaku berulang kali di lokasi sama.
Katanya lagi, kebakaran berulang itu pernah berlaku sehingga tiga tahun berturut-turut, melibatkan kawasan belukar, lalang dan kebun.
“Biasanya kita berdepan dengan pembakaran kebun nanas di kawasan tanah gambut selain kebakaran hutan,” katanya.
Program BiGIAR 2025 turut menganjurkan forum khas berkaitan isu rasuah dengan menampilkan dua ahli panel iaitu Ketua Bahagian Koordinasi Wilayah dan Negeri, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Datuk Mohd Shafie Harun dan Timbalan Pengarah Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Zakaria Taib.
Moderator bagi forum itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif Rasuah Busters, Nurhayati Nordin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
