Mayat ditemui dalam lubang lif sah milik lelaki warga UK

Laporan Sinar Harian mengenai penemuan mayat lelaki di dalam lubang lif di tapak pembinaan. Gambar kecil: Jordan
Laporan Sinar Harian mengenai penemuan mayat lelaki di dalam lubang lif di tapak pembinaan. Gambar kecil: Jordan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan mayat lelaki yang ditemukan di tapak pembinaan di Bangsar, di sini, pada Rabu, merupakan lelaki warga United Kingdom, Jordan Michael John Johnson-Doyle, 25, yang dilaporkan hilang, pada Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mayat itu telah dikenal pasti oleh bapa saudaranya berdasarkan tatu pada tubuh mangsa.

“Disahkan mayat tersebut adalah individu yang dilaporkan hilang pada Isnin lalu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai penemuan seorang lelaki dalam keadaan terlentang di bahagian lif tingkat bawah sebuah tapak pembinaan bangunan di Bangsar, kira-kira jam 4.30 petang.

“Mayat lelaki tersebut telah berjaya dikeluarkan oleh pihak Bomba dan dibawa ke Jabatan Forensik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi proses bedah siasat yang telah dijalankan pada hari ini.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah kecederaan dada akibat jatuh dari tempat tinggi.

“Tiada sebarang unsur jenayah ditemui di tempat kejadian. Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.

Ujarnya, pihak polis meminta kerjasama orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu.

“Sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau Hotline Polis Putrajaya di talian 03-8886 2222, atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga United Kingdom dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat berhampiran kawasan Bangsar pada 27 Mei lalu.

Kehilangan lelaki berusia 25 tahun itu disedari oleh keluarganya selepas telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi, malah akaun media sosialnya juga tidak lagi aktif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!