Pegawai pendidikan maut, pacuan empat roda tukar lorong tiba-tiba

NILAI – Perjalanan seorang pegawai pendidikan untuk mengambil anaknya pulang dari sekolah berakhir tragedi apabila motosikal yang ditunggangnya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda (4X4) di Kilometer 282.4 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan pada petang Rabu.
Kejadian itu turut tular di media sosial menerusi rakaman video yang memaparkan sebuah Toyota Hilux dipercayai menukar lorong ke kanan secara tiba-tiba sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggang mangsa, Mohammad Fauzee Azmi, 39.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintenden Johari Yahya, berkata kemalangan kira-kira jam 3.05 petang itu membabitkan sebuah Toyota Hilux dan motosikal jenis Yamaha XMax.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati kedua-dua kenderaan berkenaan dalam perjalanan dari Putrajaya menuju ke Seremban.
“Toyota Hilux sedang bergerak di lorong kedua dari kanan manakala motosikal Yamaha XMax berada di lorong paling kanan,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, sebaik tiba di lokasi kejadian, Toyota Hilux berkenaan dipercayai menukar lorong ke kanan secara tiba-tiba sehingga menyebabkan pelanggaran dengan motosikal mangsa.
Akibat kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Pemandu Toyota Hilux berusia lingkungan 40-an tidak mengalami sebarang kecederaan dan telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Ujian saringan air kencing yang dijalankan terhadapnya didapati negatif,” katanya.
Johari berkata, lelaki terbabit direman selama tiga hari bermula 5 hingga 7 November bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah Nilai di talian 06-7904389 atau Pegawai Penyiasat Trafik Daerah Nilai, Inspektor Zakaria Mohamad Jais di talian 019-6990142.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

