Mayat lelaki ditemui dalam lubang lif di tapak pembinaan

KUALA LUMPUR – Mayat seorang lelaki ditemukan di dalam lubang lif di sebuah tapak pembinaan di Bangsar, di sini, pada Rabu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pantai, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Wan Mohd Shahrir Azizi Wan Said berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung penemuan mayat itu kira-kira jam 4.57 petang melalui talian MERS999.
"Susulan itu, sepasukan enam anggota dan pegawai bersama sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai digerakkan ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba, kita menemui mayat lelaki yang tidak dapat dikenalpasti identitinya, berada di dalam lubang shaft lif yang dipenuhi air di bangunan dalam pembinaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Ujar beliau, anggotanya menunggu pihak Patologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mengambil sampel asid deoksiribonukleik (DNA) di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, pihaknya belum dapat mengesahkan mayat berkenaan adalah lelaki warga United Kingdom yang dilaporkan hilang baru-baru ini.
"Siasatan di tempat kejadian masih berjalan," katanya.
Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki warga United Kingdom dilaporkan hilang selepas kali terakhir dilihat berhampiran kawasan Bangsar di sini, pada 27 Mei lalu.
Kehilangan lelaki berusia 25 tahun itu disedari oleh keluarganya apabila telefon bimbitnya tidak dapat dihubungi, malah akaun media sosialnya juga tidak aktif.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
