Taman Eko Rimba, HTN Pahang ditutup dua hari sempena Aidiladha

KUANTAN – Semua Taman Eko Rimba (TER) dan Hutan Taman Negeri (HTN) di seluruh Negeri Pahang akan ditutup sementara kepada pengunjung pada 7 hingga 8 Jun ini bersempena cuti Aidiladha.
Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dalam satu kenyataan pada Khamis memaklumkan, penutupan sementara ini melibatkan semua aktiviti rekreasi termasuk pendakian gunung di kawasan yang diuruskan oleh jabatan berkenaan.
Bagaimanapun, Taman Eko Rimba atau kawasan ekopelancongan yang diswastakan kepada operator dilantik kerajaan negeri kekal dibuka kepada orang awam.
"Keselamatan pengunjung di kawasan swasta adalah di bawah tanggungjawab operator masing-masing.
"Jabatan ini tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang insiden atau kemalangan yang berlaku di kawasan berkenaan,” katanya.
Menurut kenyataan JPNP, bagi pengunjung yang tidak mematuhi notis pemberitahuan ini, tindakan undang-undang akan dikenakan di bawah Akta Perhutanan Negara 1984.
JPNP turut merakamkan penghargaan atas kerjasama orang awam sepanjang tempoh penutupan ini.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi JPNP di talian 09-5732911 / 2914.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

