KPDN Perak serbu kilang minyak masak guna sijil halal tidak sah

Pegawai KPDN Perak menjalankan pemeriksaan terhadap peket minyak masak yang disyaki menggunakan sijil halal tidak sah di sebuah kilang di Jelapang, Ipoh. Foto: ihsan KPDN Perak
Pegawai KPDN Perak menjalankan pemeriksaan terhadap peket minyak masak yang disyaki menggunakan sijil halal tidak sah di sebuah kilang di Jelapang, Ipoh. Foto: ihsan KPDN Perak
A
A
A

IPOH - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyerbu sebuah kilang pembungkusan minyak masak yang disyaki menggunakan sijil halal tidak sah bagi tujuan perdagangan di Kawasan Perindustrian Ringan, Jelapang di sini pada Rabu.

Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, serbuan sekitar jam 2.30 petang itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

"Hasil serbuan mendapati kilang tersebut sedang menjalankan aktiviti pembungkusan minyak masak serta menggunakan logo halal pada bungkusan produk berkenaan.

"Pemeriksaan lanjut terhadap pemilik kilang mendapati bahawa sijil halal yang dimiliki itu telah digantung disebabkan pelanggaran syarat pensijilan halal," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Khamis.

Menurut beliau, sebanyak 5,540 kilogram minyak masak peket yang menggunakan logo halal tidak sah bernilai RM14,233 telah disita.

"Seorang lelaki tempatan berusia 33 tahun yang mengaku sebagai pengurus syarikat telah diambil keterangan.

"Kes disiasat kerana melanggar Perenggan 4(1) Akta Perihal Dagangan 2011 dan menjadi kesalahan di bawah Perenggan 8(a) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 iaitu kesalahan memperaku mana-mana makanan itu adalah halal," katanya.

Sebanyak 5,540kg minyak masak dirampas di sebuah kilang di Jelapang, Ipoh selepas pemeriksaan mendapati bahawa sijil halal yang dimiliki itu telah digantung. Foto: ihsan KPDN Perak
Sebanyak 5,540kg minyak masak dirampas di sebuah kilang di Jelapang, Ipoh selepas pemeriksaan mendapati bahawa sijil halal yang dimiliki itu telah digantung. Foto: ihsan KPDN Perak

Kamalludin berkata, KPDN memandang serius peniaga yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau barangan keluaran.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pengguna disarankan untuk menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa untuk menyalurkan maklumat-maklumat berhubung produk makanan yang dicurigai status penandaan logo halal.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!