Kos tinggi, ambil mudah antara faktor tidak mohon sijil halal

SHAH ALAM - Kos pengubahsuaian premis yang tinggi mungkin menjadi halangan kepada syarikat bumiputera, khususnya perniagaan secara kecil-kecilan untuk memenuhi syarat-syarat ditetapkan dalam proses mendapatkan persijilan halal.
Ia juga menjadi faktor proses tersebut didominasi syarikat milik bukan bumiputera yang kebanyakannya lebih berkemampuan.
Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon berkata, penghasilan produk, pengeluaran, pembungkusan dan sebagainya yang perlu diasingkan dalam ruang berbeza merupakan antara syarat yang perlu dipatuhi bagi mendapatkan kelulusan persijilan halal.
“Jadi, mungkin apabila melibatkan kos menyediakan tempat yang sesuai, di situ usahawan-usahawan Melayu kita tiada modal untuk memenuhi syarat itu.
“Lagi satu, mungkin usahawan Melayu bersikap ambil mudah kerana menganggap produk dia sudah tentu halal. Letak nama dia, pengilang nama Melayu jadi secara tidak langsung orang tidak melihat lagi dah sijil halal,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Bagaimanapun katanya, syarikat bukan bumiputera berpandangan berbeza dan mungkin beranggapan bahawa sukar untuk menarik pelanggan sekiranya tidak mendapatkan sijil halal.
Katanya, tanggapan itu seterusnya menjadi motivasi kepada mereka untuk mendapatkan perakuan berkenaan.
“Mereka (bukan bumiputera) mungkin ada modal untuk mengubahsuai premis agar mematuhi persijilan halal yang kita tahu melibatkan kos tinggi untuk sesetengah industri,” katanya.
Beliau berkata, bagi menarik lebih ramai usahawan bumiputera mendapatkan persijilan halal, program galakan, kempen kesedaran dan bantuan agensi kerajaan harus dipertingkatkan.
Sementara itu, Yang Dipertua Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia (Gapema) Kedah, Baharudin Mohamed Ali berkata, tindakan menggunakan sijil halal palsu bagi meraih pelanggan Melayu adalah sesuatu yang tidak boleh diambil ringan.
Menurutnya, penggunaan sijil halal palsu telah mengelirukan dan tidak wajar dilakukan dalam pasaran negara, justeru tindakan tegas perlu dikenakan ke atas pihak yang terlibat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!